fbpx
Eda Ezrin (kiri) keluar dari Balai Polis Rantau Panjang semalam.

Polis boleh panggil semula Eda Ezrin untuk beri keterangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Penyanyi lagu Bea Soba Bea, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, boleh dipanggil semula oleh pihak polis sekiranya memerlukan lebih keterangan daripada wanita itu.

Menurut sumber, buat masa ini, keterangan yang diberi oleh Eda Ezrin selama lebih tiga jam di Balai Polis Rantau Panjang dekat ini sudah mencukupi.

“Bagaimanapun, polis boleh memanggil semula Eda Ezrin untuk memberi keterangan sekiranya perlu,” katanya.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, hanya Eda Ezrin dan rakannya, Nur Aida Mamat, 33, akhirnya pulang ke pangkuan keluarga masing-masing malam tadi.

Kepulangan mereka diikuti oleh suami kepada Eda Ezrin, Mohd. Affendi Ahmad, 35, suami Nur Aida iaitu Mohamad Alif Deraman, Eridieka Mohd. Noor, 33 dan Zuhaira Nasrin, 26, pada pagi ini.

Eda Ezrin dan Aida yang menjalani tahanan selama sembilan bulan di Penjara Wilayah Narathiwat, Thailand itu dibebaskan selepas memberi lebih tiga jam memberi keterangan di Balai Polis Rantau Panjang dekat sini.

Nur Aida keluar dari balai itu sebelum menaiki sebuah kereta keluarganya pada pukul 11.30 malam diikuti Eda Ezrin kira-kira 10 minit kemudian.

Eda Ezrin yang memakai jubah berwarna hitam kelihatan sempat berpelukan dengan ibunya, Zahara Mamat, 47, sebaik sahaja keluar dari pintu balai polis sebelum menaiki sebuah kereta jenis Honda City Hatchback keluarga mentuanya.

Nur Aida pula dijemput oleh keluarganya yang menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan jenis Honda HR-V.

Pihak polis hanya membenarkan sebuah kereta masing-masing untuk mengambil Eda Ezrin dan Nur Aida di pekarangan balai polis itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN