SEPANG- Seorang kanak-kanak perempuan cedera di bahagian leher, muka dan kepala selepas disamun oleh seorang lelaki yang menceroboh masuk ke rumahnya dalam kejadian di Putra Perdana, di sini pagi semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 12 tahun dicederakan suspek menggunakan pisau yang diambil di rumah berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan G Shan Gopal berkata, suspek menyerang mangsa ketika mangsa bersendirian di rumah.
Beliau berkata, kejadian hanya disedari selepas seorang jiran mendapati sesuatu yang tidak kena sebelum menghantar mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami kecederaan serius meskipun mengalami luka di beberapa bahagian badan.
“Bapa mangsa telah membuat laporan polis selepas dimaklumkan oleh jiran berkenaan insiden yang menimpa anaknya,” katanya ketika dihubungi pagi tadi.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek merupakan seorang lelaki lingkungan 40-an dan kini sedang diburu. – KOSMO! ONLINE














