PETALING JAYA – Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan di Parlimen pada 10 Oktober 2025 akan meneruskan agenda memperbetulkan struktur yang sekian lama menghalang Malaysia mencapai potensi penuh.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan berkata, Malaysia dianugerahkan dengan sumber alam yang melimpah, lokasi strategik antara Timur dan Barat serta kepelbagaian budaya, namun reformasi tidak dapat disempurnakan dalam sekelip mata.
“Ekonomi Madani dirangka untuk membuka potensi terpendam melalui dasar yang jelas dan konsisten yang memacu pembangunan ekonomi dan taraf hidup rakyat secara serentak.
“Belanjawan 2026 menandakan satu lagi langkah penting ke arah merealisasikan visi jangka panjang ini,” kata kenyataan itu hari ini.
MoF berkata, perpaduan dalam kepelbagaian berlandaskan persefahaman dan keharmonian
sosial, bukan sahaja menjadi teras identiti nasional malah menjadi asas penting bagi pembangunan yang mampan dan inklusif.
Justeru, kata kenyataan itu, MoF akan menyelaras penglibatan menyeluruh pihak berkepentingan dan orang awam untuk mendapatkan input belanjawan selaras dengan keutamaan Ekonomi Madani.
“Kerajaan komited menterjemahkan input yang diterima ke dalam Belanjawan 2026 terutama yang dapat menyokong pemerkasaan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan tadbir urus yang lebih baik.
“Sebarang komen, maklum balas dan cadangan mengenai Belanjawan 2026 boleh disalurkan melalui portal rasmi https://belanjawan.mof.gov.my,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE














