PERATURAN 78 dikatakan hanya menguntungkan pemberi pinjaman tetapi tidak adil kepada peminjam terutamanya jika mereka melangsaikan pinjaman lebih awal. – GAMBAR HIASAN

‘5 tahun bayar pinjaman kereta tapi hutang masih tak surut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – ‘Mahu menyelesaikan hutang lebih awal, tetapi jumlah yang perlu dibayar masih tinggi seolah-olah peminjam belum membuat sebarang bayaran sebelum ini.’

Itu antara keluhan diterima seorang perunding kewangan bertauliah, Afyan Mat Rawi daripada pengguna dan pengikut media sosialnya yang mendakwa Peraturan 78 telah memberi kesan kepada mereka.

“Keluhan utama mereka ialah apabila ingin menyelesaikan hutang lebih awal, jumlah yang perlu dibayar masih tinggi.

“Ramai terkejut apabila mendapati bahawa sebahagian besar bayaran bulanan mereka selama ini sebenarnya digunakan untuk membayar keuntungan, bukan baki pokok hutang.

“Contohnya, ada pengguna yang telah membayar hutang kenderaan selama lima tahun daripada tempoh sembilan tahun, namun apabila mahu membuat penyelesaian awal, baki hutangnya masih terlalu besar,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Afyan berkata, apabila di­semak, puncanya ialah struktur pembayaran berdasarkan Peraturan 78 yang menyebabkan mereka telah bayar keuntungan lebih banyak di awal tempoh.

“Mereka rasa kecewa dan tidak dimaklumkan dengan jelas pada awal perjanjian.

“Keluhan yang paling kerap saya dengar ialah, ‘saya dah bayar separuh tempoh, tapi baki hutang macam baru bayar dua tahun saja’,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan keperluan untuk menukar kaedah yang lebih baik berhubung pembayaran pinjaman tersebut.

“Saya mencadangkan agar kaedah pengiraan berdasarkan baki berkurangan digunakan secara meluas untuk menggantikan Peraturan 78.

“Dalam kaedah ini, keuntu­ngan dikenakan hanya ke atas baki hutang semasa dan bukan ke atas jumlah asal keseluruhan hutang.

“Apabila bayaran dibuat, baki hutang akan berkurang dan seterusnya pengiraan keuntungan juga akan semakin rendah,” katanya.

Beliau berkata, kaedah ini memberi manfaat kepada penghutang yang mahu melangsaikan hutang lebih awal kerana mereka tidak lagi perlu membayar keuntungan untuk tempoh yang belum digunakan.

“Kaedah baki berkurangan ini juga lebih telus, adil dan mudah difahami oleh orang awam serta selaras dengan prinsip keadilan dalam muamalat Islam.

“Ia memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak yang mana penghutang tidak terbeban dan pemberi hutang masih menerima keuntungan munasabah berdasarkan tempoh sebenar penggunaan dana,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN