ISU kegagalan bapa memberikan nafkah selepas bercerai terus menjadi barah kepada golongan ibu tunggal dan anak-anak.
Meskipun termaktub dalam undang-undang bahawa bapa wajib menanggung nafkah anak-anak tanpa mengira status perkahwinan, hak itu sering kali dipandang remeh.
Setiap tahun, ratusan aduan diterima oleh mahkamah syariah dan badan kebajikan berkenaan bapa yang culas dalam membayar nafkah, menyebabkan ramai ibu terpaksa memikul beban kewangan secara bersendirian.
Lebih menyedihkan, terdapat juga kes anak-anak terpaksa berhenti sekolah atau hidup serba kekurangan akibat kegagalan bapa menjalankan tanggungjawab asas itu.
Baru-baru ini tular seorang wanita berkongsikan rekod nafkah anaknya yang tertunggak mencecah RM70,750 yang tidak dilunaskan oleh bekas suaminya sejak November 2020.
Fenomena ini turut mencerminkan kegagalan institusi keluarga dalam memberi perlindungan dan kesejahteraan yang sewajarnya.
Peguam Syarie, Fahmi Ramli berkata, berdasarkan undang-undang keluarga Islam dan juga hukum syarak, tanggungjawab untuk beri nafkah anak adalah terletak kepada seorang bapa.
Menurutnya, sekiranya si bapa itu telah mati, atau hilang tidak diketahui di mana atau hilang keupayaan untuk memberi nafkah, maka di sisi syarak, ia adalah terletak kepada datuk sebelah bapa, adik-beradik lelaki seibu sebapa dan seterusnya.
“Ada kes lebih teruk apabila ada sesetengah bapa potong perbelanjaan wajib ke atas anak hanya semata-mata nak kahwin lain.
“Maksudnya, dia nak poligami, tapi catu hak anak. Asalnya ada tanggung belanja tuisyen anak, kemudian potong. Asalnya ada beri nafkah sebulan RM1,000, tetapi apabila nak kahwin baharu, potong jadi RM500 sebulan sahaja,” katanya.
Katanya, ada lima jenis nafkah yang bapa sering kurangkan apabila berlakunya penceraian atau berkahwin lain iaitu tempat tinggal, makan minum, pakaian raya, keperluan sekolah, kad perubatan serta simpanan.
Fahmi berkata, tanggungjawab nafkah anak ini sangat penting dalam Islam kerana si suami boleh berpisah dengan isteri, tetapi sama sekali tidak akan bercerai dengan anak.
“Ada banyak lagi yang selalu dipotong berkaitan dengan belanja nafkah anak ini. Khususnya bila si bapa bercerai dengan ibu atau si bapa nak berkahwin lain.
“Sangat zalim dan tidak adil seorang bapa nak ‘potong’ atau ‘sunat’ perbelanjaan nafkah anak sedia ada, hanya semata-mata nak kahwin lain.
“Boleh kalau nak kahwin, tiada masalah. Cuma syaratnya, bukan potong perbelanjaan tapi cari lebihan pendapatan,” katanya.
Sementara itu, Fahmi turut menasihatkan baik ibu atau bapa untuk bekerja keras menyiapkan simpanan masa depan supaya anak-anak tidak terbeban selepas pemergian mereka.
Katanya, ada kes si bapa merupakan anak tunggal dan tidak mempunyai sebarang waris, maka tanggungjawab tersebut akan berpindah kepada Baitulmal atau masyarakat yang prihatin.
“Sebab itu Nabi SAW telah berpesan kepada umat Islam, jangan biarkan kita tinggalkan waris dan anak-anak kita khususnya dalam keadaan miskin dan mengharapkan ihsan daripada orang lain. Lebih baik tinggalkan mereka kaya,” katanya.














