fbpx
Lily (tengah) bersama empat rekaan bagi koleksinya yang diinspirasikan daripada thalassophobia iaitu ketakutan mendalam terhadap laut.

Busana cetusan trauma lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DETIK hampir lemas ketika di bangku sekolah masih segar dalam ingatan pereka muda Nur Lily Shafiqah Jafri lalu mencetuskan naratif fesyen yang peribadi dan emosional.

Peristiwa traumatik itu bukan sahaja meninggalkan parut dalam bentuk kenangan, malah menyebabkan wanita yang mesra dengan panggilan Lily itu mengalami thalassophobia iaitu ketakutan mendalam terhadap laut dan perairan luas.

Namun, berbekalkan kekuatan dan semangat kreatif, pengalaman itu tidak dipendam sebagai kelemahan, sebaliknya diterjemahkan menjadi sumber inspirasi utama dalam koleksinya.

Menerusi koleksi tersebut, wanita berusia 24 tahun itu menggunakan pendekatan visual untuk menggambarkan emosi takut dan cemas yang dialami semasa insiden tersebut.

“Saya mahu tukar tragedi traumatik saya dahulu kepada sesuatu yang positif. Oleh itu, saya memilih tema ini untuk koleksi bersempena projek akhir tahun saya.

“Saya guna fabrik denim berwarna biru gelap kerana sifatnya yang trendy, versatil dan sesuai dengan tema laut yang kelam dan misteri,” katanya kepada CitaRasa.

Koleksi dengan empat gaya berbeza tersebut merupakan projek akhir tahun bagi program Sarjana Muda Teknologi Seni Reka Fesyen di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Tenik gathering menggunakan jahitan tangan pada kain denim yang ditarik bagi menghasilkan efek beralun seperti ombak menjadi tunjang utama dalam koleksi tersebut.

Ia bukan sahaja mencerminkan pergerakan air, malah mewakili perasaan gelisah yang mendalam.

Kaedah bleaching menggunakan campuran clorox dan garam turut diaplikasikan bagi menghasilkan tekstur kasar dan organik sekali gus menyerupai permukaan laut yang sentiasa berubah.

Teknik gathering menghasilkan efek beralun seperti ombak.

Sementara itu, teknik draping digunakan untuk membentuk siluet longgar dan bebas yang menambah kesan alunan air serta menggambarkan emosi yang tidak stabil.

Kongsi Lily, cabaran terbesar adalah dari segi teknikal kerana sifat denim yang berat dan tebal menyebabkannya sukar untuk dijahit dan dibentuk.

“Sifat fabrik denim yang tebal dan berat ini menyukarkan proses menjahit serta membentuk struktur rekaan.

“Tetapi dalam tempoh enam bulan, saya berjaya menyiapkan empat rekaan lengkap yang mewakili perjalanan emosi dan teknikal saya sebagai seorang pereka,” katanya.

Koleksi tersebut direka untuk lelaki dan perempuan menepati konsep ready-to-wear dengan potongan yang tidak terlalu eksperimental, namun tetap unik.

Menyasarkan golongan berusia 20 hingga 35 tahun sebagai pengguna, koleksi tersebut sesuai bagi pemakaian harian acara kasual atau gaya jalanan.

Tambah Lily, rekaan koleksi tersebut terdiri daripada two-piece yang boleh digayakan secara mix and match dengan syarat pemilihan warna yang serasi.

“Wanita boleh menggayakan busana saya bersama sneakers atau heels, manakala lelaki disarankan memakai kasut kasual atau sneakers.

“Untuk penampilan lengkap bagi wanita saya sarankan mereka memakai aksesori berwarna perak agar dapat menyerlahkan lagi penampilan mereka.

“Salah satu rekaan saya juga sesuai untuk wanita berhijab dengan pilihan potongan yang panjang dan mudah dipadankan dengan inner,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN