fbpx
Salah satu trend di TikTok yang hangat diperkatakan baru-baru ini adalah ‘S-Line’ iaitu inspirasi daripada drama Korea menceritakan kisah seorang gadis mempunyai keupayaan melihat garis merah di atas kepala seseorang.

Guna akal sebelum ikut trend media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP kali wujud trend baharu di media sosial terutama TikTok, pasti berebut-berebut orang ramai yang tidak mahu ketinggalan mewujudkan ‘content’ memeriahkan ‘suasana’ berkenaan.

Tidak kira sama ada trend berbentuk tarian, perkongsian kisah hidup sama ada sedih, gembira mahupun kelakar atau trend membuat konten menggunakan lagu-lagu sedang ‘hype’ (heboh) di TikTok, pasti ada yang mengikutinya.

Ditambah lagi ada pengguna media sosial ini yang ‘FOMO’ atau ‘fear of missing out’ bermaksud ‘takut ketinggalan’ menjadikan trend dicetuskan ini pasti mendapat sambutan daripada mereka untuk berkongsi di media sosial.

Bukan sehari dua, trend yang tular ini juga akan mendapat sambutan berbulan-bulan lamanya, berebut orang ramai berkongsi hantaran sehingga menjadi tatapan umum merentasi negara.

Salah satu trend di TikTok hangat diperkatakan baru-baru ini adalah ‘S-Line’ iaitu inspirasi daripada drama Korea menceritakan kisah seorang gadis mempunyai keupayaan melihat garis merah di atas kepala seseorang.

Garisan merah tersebut menggambarkan jumlah atau kekerapan hubungan seksual dilakukan individu berkenaan. Sudah tentu trend sebegini tidak sesuai diikuti terutama oleh umat Islam.

Keadaan itu kemudian mendapat pelbagai teguran. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan hukum terlibat dalam budaya ‘S-Line’ dan perbuatan menzahirkan aib secara sengaja dan terbuka adalah haram.

Perbuatan berkenaan membuka ruang kepada dosa, fitnah dan kerosakan sosial yang lebih besar selain mencabar ajaran Islam dan nilai budaya timur.

Sebagai pengguna media sosial, tidak salah untuk mengikuti trend yang ‘hype’ di media sosial, selagi mana tidak berlebihan dan melampau, masih beretika selain tidak melanggar akidah atau syariat bagi orang Islam.

Jika trend dicipta itu mendatangkan teladan dan keinsafan atau sesuatu yang positif, boleh jadi ia akan memberi manfaat dan kebaikan kepada pengguna media lain.

Dalam mengikut trend tersebut, seharusnya pengguna bijak, matang dan berfikir semasak-masanya sebelum mengambil keputusan memuat naik di media sosial.

Hal ini dibimbangi jika ‘content’ berkenaan mungkin boleh memakan diri, mendatangkan fitnah atau aib selain perbalahan atau caci maki.

Sebagaimana nasihat Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee agar umat Islam berwaspada dengan budaya baharu dari luar, terutama yang bercanggah dengan akhlak seorang muslim.

Katanya, trend yang mendedahkan keburukan diri sendiri dan berbangga dengannya perlu dijauhi terutamanya dalam kalangan generasi muda.

“Kepada umat Islam di Malaysia secara umumnya agar kita sentiasa berhati-hati terhadap pendekatan atau unsur baharu yang dibawa masuk melalui budaya luar, terutamanya yang tidak selari dengan budaya Melayu dan bertentangan dengan akhlak.

“Hal-hal seperti ini dibimbangi boleh menjejaskan akidah sekiranya dipercayai atau diamalkan, khususnya jika ia mengandungi unsur yang tidak baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN