fbpx
Program berbentuk seminar dan motivasi menjadi antara ruang utama kepada penyebaran fahaman postmodernisme dan New Age Movement dalam kalangan masyarakat. – GAMBAR HIASAN JANAAN AI

Ancaman senyap postmodernisme

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“BAHAYA sebenar tidak selalu datang dalam bentuk peluru atau propaganda yang lantang, tetapi kadang-kadang menyusup melalui muzik, budaya dan simbol yang tidak kita curigai.”
Inilah realiti yang sedang dihadapi oleh Malaysia hari ini apabila aliran pemikiran dan budaya seperti postmodernisme serta New Age Movement mula meresap perlahan-lahan ke dalam masyarakat.

Ia bukan sahaja melalui saluran intelektual, tetapi lebih membimbangkan melalui seni, spi­ritualiti bebas dan amalan agama yang telah dicairkan bentuk serta maknanya.

Postmodernisme sebagai satu aliran pemikiran falsafah dan budaya yang muncul selepas era moden, menolak kebenaran mutlak dan menafikan kewujudan naratif besar seperti agama, mo­ral tetap, atau sistem nilai tunggal. Sebaliknya, ia meraikan keraguan, relativisme, serta mengangkat pengalaman individu sebagai sumber utama kebenaran.

Dalam konteks agama, postmodernisme tidak melihat Islam, Kristian atau mana-mana agama sebagai satu-satunya jalan kebenaran, tetapi sebagai satu daripada banyak jalan yang sah bergantung kepada tafsiran dan pengalaman peribadi. Justeru, dalam masyarakat pascamoden, kebenaran bukan lagi bersifat mutlak tetapi subjektif.

Seiring dengan itu, muncul pula apa yang dikenali sebagai New Age Movement, satu bentuk spiritualiti moden yang menolak institusi agama formal, sebalik­nya menggabungkan unsur mistik, kepercayaan metafizik, terapi psikologi dan amalan meditasi dalam satu kerangka spiritual yang fleksibel. Gerakan ini bukan sahaja bersifat anti-dogmatik, tetapi juga sangat individualistik.

Menurut Wouter Hanegraaff, seorang pengkaji penting gerakan ini, New Age Movement ialah sebuah ‘projek budaya yang cuba menggantikan agama tradisional dengan spiritualiti yang lebih personal, intuitif dan bersifat pasaran’ (Hanegraaff, 1996).

Muhammad Izmer

Persembahan hiburan

Di Malaysia, kita menyangka bahawa semangat keagamaan masih kukuh dan masyarakat Islam pula masih berpaksikan tradisi. Namun realitinya, kita mula melihat fenomena-feno­mena baru yang menandakan pe­nyusupan unsur postmodern dan New Age secara senyap tetapi berkesan.

Salah satu kes yang mencuri perhatian ialah sebuah program motivasi popular yang dikaitkan dengan seorang selebriti media sosial baru-barr ini.

Program ini memperkenalkan konsep terapi penyembuhan menggunakan ‘frekuensi’ dan ‘getaran rohani’ yang ko­nonnya selari dengan Islam. Namun apabila diteliti, pendekatan ini sa­ngat menyerupai teknik metafizik seperti Reiki, energy healing dan aura balancing bersumber daripada spiritualiti Timur dan falsafah New Age yang tidak bersandarkan dalil wahyu.

Pendekatan sebegini mencemaskan kerana ia menggantikan akidah dengan metafora saintifik palsu. Sebagaimana ditegaskan oleh Kamarul Azhar dalam tulisannya Cabaran Akidah Kontemporari:

Antara Healing Islami dan Spiritualitas Bebas pada 2023, amalan seperti ini memperkenalkan bentuk ‘bid’ah moden’ yang berbahaya kerana menyandarkan kepercayaan kepada unsur luar syariah, tetapi dibalut dengan simbol dan bahasa agama.

Firman Allah dalam Surah al-Shu’ara ayat 80: “Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku,” jelas menunjukkan bahawa dalam Islam, kuasa pe­nyembuhan datang daripada Allah, bukan daripada tenaga atau frekuensi yang diandaikan.

Acara hiburan keagamaan dan persembahan qasidah disambut meriah oleh ribuan umat Islam. Dari satu sudut, ia menggambarkan kecintaan kepada Rasulullah SAW. Namun apabila ibadah se­perti selawat dan zikir dilaksanakan dalam bentuk persembahan pentas lengkap dengan sistem audio besar, lampu berkelip, suasana seperti festival, dan kadang-kadang disertai artis popular, maka persoalan mula timbul tentang keikhlasan ibadah dan kesahihan pendekatannya.

Menurut Wan Mohd. Fazrul Azdi dalam Jurnal Pemikiran Islam Kontemporari 2022, bentuk persembahan agama yang terlalu berorientasikan hiburan boleh menyebabkan ‘kosmetik spiri­tual’ di mana rasa kagum dan syahdu yang dirasai bukan berpunca dari kekhusyukan ibadah, tetapi dari stimulasi visual dan bunyi.

Ia membawa kepada peminggiran ilmu, dan meletakkan agama dalam ruang estetika semata-mata. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat,” menjadi peringatan tegas bahawa bentuk luaran ibadah tidak boleh menenggelamkan ruh sebenar yang berpaksikan niat dan penghayatan.

Farish A. Noor pula menerusi tulisannya bertajuk Islam embedded: The historical development of the Pan-Malaysian Islamic Party PAS (1951 – 2003) menyifatkan pendekatan ini sebagai mencerminkan cara baru beragama yang tidak lagi dikawal oleh institusi atau ulama, tetapi oleh pasaran, media sosial dan pengaruh karisma peribadi. Ini mewujudkan “pengkultusan” dalam gerakan agama.

Kesan jangka panjang kepada masyarakat adalah besar. Apabila semangat postmodern dan spiritualiti New Age berakar dalam budaya, ia perlahan-lahan mencairkan sempadan antara ibadah dan hiburan, antara akidah dan persepsi. Agama dilihat sebagai ruang peribadi yang boleh ditafsir dan diubahsuai mengikut rasa dan suasana.

Kesedaran awam

Akhirnya, wujudlah satu generasi yang tidak lagi membezakan antara kepercayaan sahih dan emosi rohani, antara tradisi yang berpaksikan dalil dan persembahan yang sekadar memberi ketenangan. Relati­visme seperti ini amat bertentangan dengan prinsip Islam yang meletakkan tauhid dan wahyu sebagai asas kebenaran.

Firman Allah dalam Surah al-Nahl ayat 43: “Maka bertanyalah kepada orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui,” menunjukkan kepentingan merujuk kepada autoriti ilmu, bukan hanya kepada perasaan atau personaliti.

Menghadapi cabaran ini, pe­ranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan agensi utama seperti JAKIM amat penting. Kerajaan perlu melihat isu ini bukan sebagai perdebatan remeh tetapi sebagai cabaran besar terhadap akidah dan budaya negara.

Penilaian yang tegas terhadap sebarang program spiritualiti yang menyimpang daripada syarak perlu dijalankan. Garis panduan tentang persembahan agama dalam bentuk konsert atau budaya massa juga wajar diperincikan supaya keindahan Islam tidak diperdagangkan atas nama dakwah.

Selain itu, kerjasama erat antara Majlis Fatwa Kebangsaan, jabatan agama negeri dan institusi pengajian tinggi perlu diperkukuh untuk memastikan sebarang ajaran atau amalan baharu diteliti secara menyeluruh sebelum diberi ruang dalam masyarakat.

Namun, tanggungjawab ini tidak boleh dipikul oleh kerajaan dan ulama semata-mata. Masyarakat, khususnya umat Islam perlu lebih peka terhadap bentuk ancaman nilai seperti ini. Literasi agama dan budaya perlu dipertingkat agar kita tidak menjadi pengguna pasif kepada spiritualiti yang membingungkan.

Setiap individu perlu kembali kepada ilmu, menyemak semula sumber amalan, dan tidak terpesona dengan persembahan yang membungkus kebatilan dengan bahasa agama.

Inilah ancaman senyap yang tidak boleh lagi disenyapkan. Kita memerlukan keberanian untuk berkata benar, kesungguhan untuk memperbaiki keadaan, dan kesedaran kolektif untuk mempertahankan akidah dan warisan budaya bangsa daripada larut dalam relativisme zaman.

Muhammad Izmer Yusof ialah Pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Universiti Malaysia Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN