PETALING JAYA – Pihak industri didakwa dapat mengurangkan kos gaji sekiranya membenarkan warga asing melakukan kerja-kerja mekanikal dan mengambil alih jawatan penting, namun pada masa sama menyempitkan peluang kerja orang tempatan.
Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, rakyat Malaysia yang berkelulusan tinggi ketika ini sukar mendapat pekerjaan dan bertambah parah apabila peluang yang ada diberi kepada pekerja asing.
Katanya, ia bercanggah dengan syarat kemasukan pekerja asing apabila mereka hanya dibenarkan memohon bekerja dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) dan bukannya pekerja pertengahan.
“Ia bukan sahaja tidak selari dengan alasan industri membawa masuk ramai pekerja asing, tetapi mengecilkan peluang pekerjaan rakyat tempatan.
“Dulu kita mengalu-alukan pekerja asing dalam sektor 3D. Masa itu negara sedang membangun dan pekerja tidak cukup, tetapi antara lima dan enam tahun ini kita nampak perubahan drastik berlaku,” katanya.
Menurut Mohamed Shafie, ia merupakan perkembangan tidak sihat apabila pekerja asing mula mengambil alih kerja-kerja mekanikal dan kejuruteraan yang bercanggah dengan kontrak asal.
Tambahnya, keadaan itu walau memanfaatkan pihak industri kerana dapat mengurangkan kos gaji yang sepatutnya dibayar untuk pekerjaan tertentu, ia menyempitkan peluang kerja warga tempatan.
“Peluang kita semakin mengecil kerana tempat sudah diambil alih. Di lokasi perindustrian, kalau ada 10 pekerja, tiga orang kita, tujuh warga asing,” katanya.
Ujar Mohamed Shafie, ia berlainan jika negara kekurangan pakar dalam bidang perubatan.
“Mungkin ada majikan yang melakukan penipuan ketika mengisi borang membawa masuk pekerja asing dan mengatakan kononnya tiada kerja kosong kepada warga tempatan walhal dia hendak ambil pekerja asing,” katanya.














