KUALA LUMPUR – Beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus kempunan untuk menamatkan kemarau gelaran Jelajah Dunia Super 1000 selepas tewas pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka China.
Pada aksi final yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou sebentar tadi, bekas juara dunia itu terpaksa akur tewas 15-21, 14-21 kepada pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri.
Turun sebagai pilihan kedua kejohanan, Aaron-Wooi Yik tersentak seketika apabila membenarkan beregu lawan mendominasi sepenuhnya set pertama dan mendahului 11-2 sebelum kembali mengejar.
Walaupun cuba merapatkan kedudukan 14-18, namun ia belum cukup untuk menghalang gandingan baharu berkenaan daripada mencatat kemenangan, sekali gus meraih tonik tambahan untuk set berikutnya.
Memasuki set kedua, Aaron-Wooi Yik cuba memperkemaskan permainan, namun momentum dimiliki beregu lawan sukar digugat dan terpaksa akur bergelar naib juara apabila tewas 14-21 di set tersebut.
Sebagai rekod, ini adalah kali keenam pemenang dua pingat gangsa Sukan Olimpik itu gagal untuk memanfaatkan peluang menamatkan kemarau gelaran Super 1000 selepas lima percubaan terdahulu turut berakhir dengan kekalahan.
Sebelum ini, Aaron-Wooi Yik juga cuba menamatkan kemarau itu pada saingan All England 2019 dan 2024, Terbuka Thailand 2020, Terbuka China 2023 serta Terbuka Indonesia 2023, namun nasib tidak menyebelahi mereka.
Selaku juara, Fajar-Fikri membawa pulang hadiah wang tunai AS$148,000 (RM624,782) berserta trofi manakala Aaron-Wooi Yik berpuas hati dengan AS$70,000 (RM295,505) dan juga trofi. – KOSMO! ONLINE