MUHAMMAD HIDIR berdiri sabar dalam barisan bersama dua anak lelakinya sambil memerhati penuh minat ke arah kuali panas di hadapan.
Di atas kuali leper itu, tangan penjual bergerak cekap melakar wajah Spiderman, watak kegemaran anak-anaknya menggunakan adunan ‘pancake’ atau lempeng.
Garis demi garis muncul, membentuk wajah comel yang semakin dikenali, membuatkan dua beradik itu terpaku dan teruja.
Wajah hero kesayangan mereka makin nyata dan sebentar lagi mereka bakal menikmatinya bersama.
Keluarga itu merupakan pelanggan tetap gerai Abang Pancake Kartun di Harbour Street Market, Taman Pulau Melaka, Melaka dan hampir setiap minggu berkunjung ke sana.
Menurut lelaki berusia 32 tahun itu, anak-anaknya sangat menggemari ‘pancake’ yang dihasilkan sehingga sering memintanya berulang kali.
“Walaupun jarak dari rumah ke kedai mengambil masa lebih kurang 40 minit, saya sanggup menempuh perjalanan itu, termasuk beratur hingga satu jam.
“Kadang-kadang saya dan isteri terpaksa bergilir-gilir menunggu giliran kerana kedai tersebut sering dipenuhi pelanggan dan tular di media sosial,” katanya kepada CitaRasa.
Muhammad Hidir mengakui mereka sekeluarga tertarik dengan ‘pancake’ kartun kerana keunikannya yang tersendiri.
Setiap pancake dilukis sendiri secara spontan oleh penjual dengan watak kartun kegemaran seperti Spiderman, Didi & Friends dan Baby Shark.
Selain menarik dari segi rupa, rasanya juga enak, tidak terlalu manis dan mempunyai tekstur yang mengingatkan kepada apam balik.
Pengalaman melihat seni itu dilakukan di depan mata menjadikannya seolah-olah satu persembahan langsung sebelum makanan dijamah.
“Pancake ni bukan saja sesuai untuk budak-budak, orang dewasa pun ramai yang suka. Saya selalu beli lebih tiga keping sebab boleh disimpan dalam peti sejuk. Kami biasanya panaskan semula dan jadikannya makanan sampingan sambil santai tengok televisyen,” kata anak jati Melaka itu.
Difahamkan, fenomena kartun pancake di Malaysia dimulakan oleh seorang peniaga kreatif dari Melaka, dikenali sebagai Abang Kartun Pancake.
Lelaki itu mula memperkenalkan seni itu secara aktif melalui persembahan langsung dan media sosial pada awal tahun 2024. Hasil tangannya yang menampilkan watak-watak kartun popular dalam bentuk pancake bukan saja menarik perhatian kanak-kanak, malah turut memikat golongan dewasa.

Melalui video tular di TikTok dan Instagram, pemilik nama sebenar Nor Syahmizi Safuan berjaya mencetuskan gelombang minat terhadap seni kulinari unik itu. Kini, pengusaha-pengusaha pancake kartun bercambah ke banyak negeri.
Kata Nor Syahmizi, minat terhadap seni pancake kartun bermula selepas menonton satu video dari Thailand yang memaparkan teknik melukis menggunakan adunan di atas kuali.
“Saya memang minat seni sejak kecil dan sering melukis di atas kertas. Bila tengok video orang Thailand melukis atas kuali, saya terus rasa nak cuba.
“Saya buat eksperimen sendiri dan kongsi hasilnya di TikTok. Tak sangka sambutan sangat luar biasa.
“Sejak itu saya mula serius dan buka gerai secara rasmi pada Januari tahun lalu di acara Universiti Teknikal Malaysia Melaka,” katanya.
Populariti seni pancake kartun melonjak selepas salah satu videonya di TikTok yang memaparkan lukisan watak Katak Keroppi menjadi tular dan meraih lebih empat juta tontonan.
Sejak itu, gerainya di Melaka menjadi tumpuan, dengan pelanggan sanggup beratur sehingga lima jam dalam barisan sepanjang 50 meter.
Dalam tempoh enam jam berniaga, dia mampu menyiapkan sekitar 130 pancake bergantung kepada tahap kesukaran setiap rekaan.
Untuk menghasilkan pancake kartun, adunan khas digunakan, terdiri daripada campuran tepung, telur, susu dan serbuk penaik. Adunan akan ditapis halus supaya mudah dimasukkan ke dalam botol bermuncung tajam yang digunakan untuk melukis.Sebanyak 12 hingga 15 jenis pewarna makanan disediakan bagi menjadikan setiap lukisan kelihatan lebih hidup.
Lukisan biasanya dimulakan dengan warna hitam sebagai rangka, sebelum diisi dengan warna-warna lain untuk melengkapkan rupa yang diingini.
Menariknya, lukisan perlu dibuat secara terbalik menggunakan teknik ‘cerminan’ kerana pancake akan diterbalikkan semasa dimasak.Setiap satu lukisan ambil masa sekitar empat hingga enam minit untuk disiapkan.
Katanya, selain lebih 40 watak kartun yang tersedia dalam menu, dia juga mampu melukis berdasarkan gambar secara langsung yang diminta pelanggan.
“Permintaan paling tinggi biasanya datang daripada peminat anime. Goku, Naruto dan watak dari One Piece antara yang paling kerap diminta.
“Selain watak animasi, saya juga boleh lukis wajah manusia, contohnya Syed Saddiq. Tapi lukisan realistik macam ni saya hanya buat kalau pelanggan tak terlalu ramai sebab ia perlukan masa dan ketelitian lebih,” katanya.
Abang Kartun Pancake turut menawarkan kelas secara dalam talian bagi yang berminat belajar dari rumah.
Setakat ini, seramai 66 orang telah menyertai kelas sehingga menyebabkan kartun pancake kini boleh didapati di hampir semua negeri di Malaysia.
Salah seorang daripadanya ialah pelajar terawal dari Kuantan, Pahang yang kini berniaga di kiosk di Dataran Sayangi Kuantan. Dikenali sebagai Kak Chibi, pemilik nama Nonadia Mohamad mampu hasilkan lebih 90 karakter termasuk watak kartun dan anime popular.
Gaya lukisannya berbeza kerana lebih berkonsep chibi, iaitu versi comel dan kecil daripada watak asal.
“Walaupun kami guna resipi pancake yang sama, setiap pelukis ada kreativiti dan gaya tersendiri.
“Masa berniaga, saya guna dua dapur serentak iaitu satu untuk melukis, satu lagi untuk membalikkan pancake.
“Abang Kartun Pancake akan pantau secara berterusan dan akan beritahu jika perlu penambahbaikan,” katanya.
Jualan Kak Chibi sering mendapat sambutan apabila menampilkan watak popular semasa seperti Ejen Ali.
Kongsinya lagi, antara cabarannya termasuk mengawal suhu kuali yang mempengaruhi hasil lukisan serta teknik melukis secara terbalik yang memerlukan ketelitian.
“Tekanan masa pun ada, terutama bila ramai beratur. Kadang-kadang jangkaan pelanggan terhadap lukisan juga jadi cabaran,” tambahnya.
















