KUALA LUMPUR – Hanya selangkah lagi buat beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mara ke pentas final pada Kejohanan Badminton Terbuka China selepas layak ke separuh akhir.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou sebentar tadi, bekas juara dunia itu menewaskan rakan sepasukan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dengan keputusan straight set 21-16, 21-16.
Turun dengan status sebagai pilihan kedua kejohanan, Aaron-Wooi Yik bagaimanapun berdepan tentangan hebat, terutamanya di set pertama sebelum kembali memperkemaskan permainan dan seterusnya memenangi perlawanan.
“Satu perlawanan yang sukar hari ini kerana menentang rakan sepasukan. Kami berdua tidak fikir banyak dan hanya cuba mengeluarkan permainan sendiri walaupun pada awalnya agak hilang fokus.
“Kami juga semakin selesa dengan keadaan stadium, terutamanya gelanggang 2. Bagaimanapun, esok kami akan bermain di gelanggang 1 yang agak berangin, jadi perlu bersedia sebaiknya,” kata Wooi Yik kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Aksi ditampilkan pemenang dua pingat gangsa Sukan Olimpik itu jelas menunjukkan mereka sudah kembali menemui sentuhan sebenar selepas tersingkir seawal pusingan pertama pada Terbuka Jepun minggu lalu.
Sebagai rekod, pasangan No.2 dunia itu tidak menyertai Terbuka China pada edisi tahun lalu akibat kecederaan retak tulang jari kaki kanan yang dialami Wooi Yik ketika beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.
Hasrat untuk menyaksikan pertemuan sesama sendiri di separuh akhir esok bagaimanapun tidak tertunai selepas beregu profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin tewas 18-21, 14-21 kepada jaguh India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy. – KOSMO! ONLINE