PETALING JAYA – Pamer MyKad untuk membeli petrol, memperketatkan kawalan di sempadan, selain penggunaan teknologi lebih canggih antara langkah boleh dilaksanakan kerajaan dalam memastikan hanya rakyat Malaysia dapat menikmati subsidi RON95 di negara ini.
Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, biarpun ada yang mendakwa mempamerkan kad pengenalan dikatakan tidak relevan atau tidak logik, namun ia antara langkah yang boleh dilaksanakan.
“Kalau kita ambil serius ditambah lagi kecanggihan teknologi iaitu proses pendigitalan negara yang semakin rancak, perkara ini perlu diteliti secara sistematik.
“Mungkin nak isi minyak itu, mereka perlu menggunakan kad identiti diri atau yang biasa guna kad kredit dan beli di mesin, pastikan ‘verify’ (sahkan) dahulu sebagai warganegara.
“Boleh jadi dengan imbas kad identiti tersebut terlebih dulu bagi memastikan layak membuat pembayaran (RON95). Kaedah ini perlu diteliti secara rapi supaya dapat dilaksanakan dengan terbaik dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai cadangan bagi mengelakkan ketirisan pembelian petrol bersubsidi RON95, susulan pengumuman harga RON95 yang lebih rendah iaitu RM1.99 seliter, berbanding RM2.05 seliter ketika ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin.
Abdul Rais berkata, sekiranya kaedah mempamerkan MyKad bagi pembelian RON95 itu tidak dilaksanakan, berkemungkinan pemberian subsidi itu tidak dapat dibuat secara bersasar.
“Tidak mungkin kita dapat laksanakan subsidi ini kepada golongan yang berhak dan sepatutnya. Buat masa ini, pengenalan itu hanyalah melalui kad pengenalan diri.
“(Mungkin) orang kata akan ada manipulasi penggunaan MyKad dan dari situ, bagaimana pula untuk kita memantaunya. Bagaimana untuk mengawal supaya ia tidak berlaku,” katanya.
Beliau turut menyarankan, syarikat penyedia perkhidmatan pam minyak untuk meletakkan kakitangan berdedikasi dalam memastikan hanya kenderaan dengan pendaftaran Malaysia sahaja dibenarkan membeli petrol RON95.
“Pastikan yang mengisi itu bukan kenderaan bernombor pendaftaran dari negara jiran. Jika buat begini, secara automatik akan memberi pemahaman bahawa yang beli kereta dalam negara serta menggunakan kenderaan tersebut (dibenarkan membeli RON95).
“Selain itu kita nak pastikan bahawa rakyat Malaysia yang menggunakan minyak petrol bersubsidi ini,” katanya.
Abdul Rais turut mencadangkan supaya kawalan lebih ketat khususnya di sempadan negara bagi memastikan tiada ketirisan pemberian subsidi petrol RON95, selain penggunaan alatan lebih canggih untuk pemantauan.
“Pengawalan lebih ketat, mungkin di negara lain ada menggunakan dron atau televisyen litar tertutup (CCTV) dengan teknologi canggih. Perkara ini juga boleh membantu dalam mengelakkan ketirisan.
“Kita perlu memastikan mekanisme ini dilaksanakan dengan lebih sistematik dan berstrategi untuk keperluan rakyat Malaysia,” katanya.














