KUALA LUMPUR – Beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing melakar kejutan pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka China hari ini apabila menewaskan pilihan keenam dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi.
Pada perlawanan yang berlangsug di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou sebentar tadi, gandingan No.22 dunia itu mempamerkan semangat juang cukup tinggi untuk mencatat kemenangan 26-24, 7-21, 21-18.
Meskipun turun sebagai pemain bukan pilihan, namun Pei Kee-Mei Xing membuatkan beregu No.8 dunia itu berada dalam keadaan cemas apabila memberi tentangan sengit sebelum memastikan kemenangan di set pertama.
Memasuki set berikutnya, Iwanaga-Nakanishi yang tersentak dengan kekalahan awal kembali memperkemaskan permainan dan menang mudah 21-7 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Bagaimanapun, Pei Kee-Mei Xing sekali lagi membuktikan ranking hanya angka semata-mata apabila melakukan asakan demi asakan ke atas beregu Jepun itu sebelum melengkapkan kemenangan dan melangkah ke suku akhir.
Menanti pasangan negara di suku akhir esok adalah beregu tuan rumah, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian yang layak selepas menewaskan gandingan Hong Kong, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam 21-9, 21-12. – KOSMO! ONLINE