PONTIAN – Seorang bekas pegawai kualiti sebuah kilang di Pekan Nenas, di sini sanggup meninggalkan kerjaya makan gaji dan suasana pendingin hawa semata-mata untuk berkecimpung dalam bidang pertanian.
Keputusan yang dibuat Mohd. Nuril Azim Ahmad Bahrom, 29, nyata berhasil apabila kini dia memiliki kebun buah golden melon.
Menurut pemegang ijazah pengurusan ladang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM ) Jasin, Melaka itu, dia memulakan kerjaya sebagai petani muda bermula 2020.
“Saya berhenti kerja makan gaji pada 2020 dan ambil keputusan mengusahakan kebun kelapa sawit milik keluarga.
“Bapa saya, Ahmad Bahrom Jamari, 61, dan ibu, Suraya Rahmat, 53, merupakan golongan orang kurang upaya (OKU) iaitu pekak dan bisu, bila fikir pada masa sama saya boleh jaga mereka,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Sulaiman, Telok Kerangan, di sini baru-baru ini.
Katanya, bermula dari situ, dia mengikuti kursus penanaman golden melon daripada seorang usahawan yang berjaya di Johor Bahru termasuk cara penanaman, penjagaan dan membuat baja.
“Memandangkan saya mempunyai pengetahuan dalam pertanian, lebih memudahkan memahami projek penanaman golden melon,” katanya.
Ujarnya, bagi mereka yang tiada asas, biasanya akan ditawarkan untuk sama-sama menanam 500 pokok golden melon di kebun usahawan tersebut sehingga mengeluarkan hasil.
“Dengan modal RM20,000 hasil wang simpanan, saya memulakan projek menanam golden melon pada 2024 dengan membina rumah hijau dan pemasangan sistem pengairan.
“Sistem yang saya gunakan ini adalah hidroponik DFT dengan kerja penanaman dimulakan pada awal tahun ini dengan sebanyak 500 pokok golden melon ditanam,” ujarnya
.
Katanya, harga golden melon dijual mengikut saiz iaitu saiz A (RM12), saiz B (RM10) dan premium (RM14) yang dipasarkan melalui Facebook, TikTok dan sebagainya.
“Sambutan pembeli adalah baik dengan penghantaran dibuat ke Benut, Pekan Nenas, Kukup selain mereka yang datang terus ke ladang,” katanya.















