JOHOR BAHRU – Rakyat kini mula mengambil pendekatan lebih bijak dan berstrategi dalam berbelanja terutama melibatkan barang keperluan dan bahan mentah susulan keadaan ekonomi yang semakin mencabar selain tekanan kos sara hidup yang tidak menentu.
Bagi sebahagian besar pengguna, antara faktor yang dipertimbangkan bagi tujuan perbelanjaan berhemah adalah dengan mencari pasar alternatif yang menawarkan harga lebih murah berbanding lokasi tumpuan umum seperti pasar besar.
Selain itu, ramai juga mula merancang cara berbelanja harian termasuk membeli dalam kuantiti lebih kecil dan berdasarkan keperluan semasa.
Seorang suri rumah, Siti Noor Asiah Muda, 36, berkata, dia kini lebih selesa berbelanja barang basah di pasar borong ketika harga barang diturunkan.
“Sekarang ini, harga barang semakin naik jadi sebagai pengguna harus bijak ketika membeli barang.
“Saya biasanya akan beli barang-barang basah seperti ikan, ayam serta makanan laut yang lain di pasar-pasar borong atau pasar awam.
“Saya tinggal di Larkin, tempat paling dekat ialah Pasar Awam Larkin Sentral. Harga barang di sini agak berpatutan walaupun menjadi tumpuan warga Singapura untuk berbelanja.
“Kalau mahu harga murah, kena pergi masa pasar nak tutup iaitu sekitar 11 pagi hingga 12 tengah hari. Ada masa peniaga akan buat lelongan jualan mereka,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Siti, cara yang digunakan itu membolehkannya mendapatkan harga bahan mentah yang jauh lebih murah, sekali gus mengurangkan perbelanjaannya berbanding sebelum ini.
“Jika dulu saya berbelanja sehingga RM100 untuk sekali ke pasar, tetapi kini dapat dikurangkan sekitar RM30,” katanya.
Bagi pekerja swasta, Rosnah Ismail, 49, pula, dia lebih memilih untuk berbelanja barang keperluan di pasar raya yang terletak di luar bandar raya Johor Bahru.
Katanya, dia biasanya akan memilih pasar raya di Taman Daya yang menawarkan harga lebih murah berbanding dengan pasar-pasar borong yang ada di tengah bandar seperti di Pandan.
“Kadang-kadang saya terus pergi membeli ke Pasar Orang Asli di Permas Jaya, dekat situ pengguna dapat beli lauk-pauk segar dengan harga lebih rendah.
“Kalau di pasar raya atau pasar borong peniaga jual dengan timbang kilo, dekat pasar Orang Asli kira longgok,” katanya.
Seorang pemandu bas di Singapura, Helmizi, 48, mengakui harga makanan di sekitar Johor Bahru terutama yang berhampiran dengan pintu masuk Malaysia-Singapura sangat tinggi berbanding kawasan lain.
“Sebagai contoh, harga nasi lemak ayam goreng di sekitar Stulang boleh mencecah RM10 sepinggan. Lagipun, banyak kedai makan di sini lebih mengutamakan pelanggan dari Singapura,” katanya.
Susulan itu kata Helmizi, dia lebih selesa mencari kedai makan yang terletak di luar kawasan pintu masuk sempadan untuk harga yang lebih murah.
Di Kuala Terengganu, Terengganu, ketidaktentuan kos sara hidup dan harga barangan basah sejak akhir-akhir ini membuatkan ramai pengguna mula mengehadkan pembelian iaitu dalam kuantiti lebih kecil.
Seorang pengguna, Zaiton Jusoh, 65, berkata, dia dan keluarganya kini membeli barangan basah dalam kuantiti kecil bagi mengelakkan pembaziran.
“Saya jarang beli barang basah seperti ikan, ayam dan sayur dalam kuantiti banyak. Cukup untuk makan hari ini dan esok.
“Kita masih boleh dapat tiga ikat sayur pada harga cuma RM5 di pasar borong. Kalau di tempat lain, seikat sahaja sudah RM3. Ikan dan ayam pun jauh beza harganya,” katanya.
Suri rumah, Siti Kalsom Yaacob, 37, pula berkata, dia sekeluarga mengambil pendekatan membeli secara berperingkat bagi mengelak pembaziran dan mengekalkan kesegaran bahan mentah.
“Memang kena pergi pasar lebih kerap, tapi sekurang-kurangnya tidak ada bahan yang terbuang, “ katanya.














