fbpx
NAJIHA memberitahu, dia memulakan perkhidmatan solekan sejak berumur 16 tahun.

‘Tak sangka video solekan meletup di ­TikTok’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pesona Ahad minggu ini, Nur Najiha Saharuddin, 22, atau le­bih dikenali sebagai Najiha yang mempunyai semangat tekad menjana pendapatan hasil dari titik peluhnya seawal usia 16 tahun.

Gadis yang berasal dari Se­langor ini mendapat perhatian ramai kerana rupa parasnya yang cantik dan berpendidikan tinggi dalam bidang multimedia.

Gadis jelita juga seorang pempengaruh yang namanya sedang menaik berkongsi kisah hidup dan impiannya pada masa hadapan kepada Kosmo! Ahad.

KOSMO! AHAD: Kongsikan tentang diri anda?
Najiha: Saya seorang yang meminati dunia solekan, suka apa sahaja yang berkaitan de­ngan kecantikan.
Saya gemar menghasilkan vi­deo solekan dan kecantikan untuk berkongsi tip serta memberi inspirasi kepada orang lain.
Membeli-belah barang solekan menjadi satu bentuk terapi untuk mendapatkan idea baharu mengenai tip solekan. Sentiasa meluangkan masa di spa untuk menenangkan diri dan menyegarkan semula tubuh selepas kepenatan.

Sejak bila mula jadi model?
Saya mula jadi model sejak tahun 2023 untuk produk kecantikan, ia tidak dirancang dan mereka mula hubungi saya selepas video ‘tutorial’ solekan saya mula tular di aplikasi TikTok.

Saya hanya fokus untuk jadi model bagi produk kecantikan kerana mempunyai minat berkaitan dengan kecantikan dan suka memperagakannya di depan kamera.

Bagaimana mula menjadi content creator untuk membia­yai kos pelajaran sendiri?
Saya mula minat dunia kecantikan sejak umur 14 tahun, tetapi ketika itu keluarga kurang menyokong kerana tiada siapa dalam keluarga yang berminat dengan solekan, termasuk ibu saya.

Tambahan pula, saya masih terlalu muda, jadi saya faham keraguan mereka.

Satu hari, saya terfikir untuk kongsikan ilmu solekan di ­TikTok. Tak sangka, video tutorial yang saya muat naik mendapat sambutan luar biasa, terutama daripada mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia kecantikan.

Sebelum menjadi pencipta kandungan kecantikan sepenuh masa, saya bermula sebagai jurusolek bebas. Dari situ, semakin banyak jenama mula menyedari usaha saya. Minat ini saya jadikan bukan sekadar hobi, tetapi juga sumber rezeki.

Dengan minat yang saya bawa hingga hari ini, saya bersyukur dapat tampung kos pelajaran sendiri dan berkongsi rezeki de­ngan keluarga serta rakan-rakan.

Bila mula minat buat servis solekan kepada pelanggan?
Saya mula buat perkhidmatan solekan sejak berumur 16 tahun dan ketika itu caj yang dikenakan kepada pelanggan boleh mence­cah dari RM50 hingga RM200.

Dalam satu bulan, saya boleh dapat dua hingga tiga pelanggan dan bagi saya memang cukup hasil yang diperoleh ketika itu.

Selain servis solekan, saya juga kerja sebagai pelayan di restoran milik ibu bapa saya. Kalau dicampur semua duit hasil kerja saya ketika usia 16 tahun, saya boleh dapat lebih kurang RM1,000 dalam sebulan.

Saya aktif dalam menyedia­kan perkhidmatan solekan ketika menyambung pelajaran di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Ipoh, Perak iaitu jurusan Diploma Multimedia.

Saya hanya buka servis tersebut sewaktu cuti semester dan banyak masa lapang terluang dengan mencari rezeki.

Pengalaman yang saya pernah lalui sejak berumur 16 tahun banyak mengajar saya tentang usaha dan berdikari dari usia muda.

NAJIHA tidak menyangka video tutorial yang dimuat naik mendapat sambutan luar biasa.

Pada masa ini, apa yang sedang dilakukan?
Sekarang saya merupakan seorang content creator sepenuh masa dan memiliki perniagaan kecil iaitu ByNajiha.co.

Saya mula menjalankan perniagaan ini kerana ingin menggabungkan minat dalam bidang kecantikan dan keusahawanan.

Saya seorang yang berdisiplin dalam merancang untuk mencapai impian. Setiap minggu, saya akan pastikan sebanyak RM500 dimasukkan ke dalam akaun simpanan.

Oleh itu, saya ingin menyeru para pengikut saya supaya mula dari sekarang untuk mengejar impian mereka dan berpegang teguh kepada impian tersebut.

Ada perancang untuk me­nyambung pelajaran?
Saya merancang untuk me­lanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana, tetapi buat masa ini, saya lebih memberi tumpuan kepada membina perniagaan kecil dan kerjaya sebagai kreator digital terlebih dulu.

Perkara menarik tentang anda?
Mempunyai keyakinan yang tinggi kepada diri sendiri, tegas dan seorang yang percaya kecantikan adalah untuk semua.

Ciri-ciri lelaki idaman?
Lelaki yang dominan, setia, romantik dan sentiasa komited dalam hubungan, selain mempunyai matlamat yang jelas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN