PASUKAN SAR bertungkus-lumus mencari Ija di Sungai Tui, Lenga, Bukit Kepong, Muar baru-baru ini.

Ingat lemas di sungai, rupanya lari nikah di Siam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUAR – Tanda tanya orang ramai mengenai misteri kehilangan Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin sejak Selasa lalu terjawab apabila pempengaruh permotoran itu rupa-rupanya melarikan diri ke Thailand dipercayai untuk berkahwin lagi.

Kehilangannya hanya satu ‘san­diwara’ yang telah dirancang sehingga Tengku Nizaruddin, 38, atau dikenali Ija sanggup menenggelamkan kereta Perodua Axia milik isterinya di Sungai Tui, Lenga, Bukit Kepong di sini.

Lakonan itu dibuat seolah-olah mangsa dikhuatiri lemas di sungai dengan operasi mencari dan menyelamat melibatkan 77 pegawai serta anggota pelbagai agensi telah dilakukan selama empat hari sebelum dihentikan kelmarin.

Ija dikatakan lari ke Thailand melalui Padang Besar, Perlis pada Selasa lalu sejurus selepas kejadian tersebut.

Segala muslihatnya terbongkar selepas adiknya berusia 30 tahun membuka mulut setelah disoal siasat pasukan polis susulan laporan yang dibuat.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, adik mangsa membuat laporan palsu kononnya abangnya hilang ketika dalam perjalanan dari Johor Bahru untuk membaiki kereta di Muar pada hari kejadian, Selasa lalu.

“Hasil siasatan mendapati terdapat keraguan terhadap laporan yang dikemukakan adik mang­sa dan polis percaya kejadian itu adalah direka untuk kepentingan peribadi.

“Siasatan juga mendedahkan mangsa disyaki menenggelamkan kereta Perodua Axia milik isterinya di Sungai Tui, Lenga, Bukit Kepong sebelum melarikan diri ke negara jiran.

“Adik mangsa turut mengaku dia juga bersubahat dan berpura-pura menjalankan usaha mencari mangsa bagi mengaburi siasatan polis,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, Tengku Nizaruddin telah menyerah diri di Balai Polis Muar semalam.

Pempengaruh itu dan adiknya telah diambil keterangan.

Kes disiasat mengikut Sek­syen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat.

Pada 15 Julai lalu, Kosmo! melaporkan seorang pempengaruh permotoran yang mempunyai lebih 53,000 pengikut di Facebook dikhuatiri lemas selepas kereta Perodua Axia yang dipandu ditemukan terbabas ke dalam Sungai Tui, Lenga, Bukit Kepong.

Ija kali terakhir dilihat keluar rumahnya di Johor Bahru pada pukul 12 tengah hari.

Gerakan mencari dan menyelamatnya telah dilakukan dengan radius operasi diperluas hingga 10 kilometer dari lokasi kejadian. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN