fbpx
PENDUDUK termasuk masyarakat Orang Asli di lima perkampungan pesisir pantai di Pasir Gudang, Johor Bahru membantah feri dipandu laju berhampiran penempatan mereka baru-baru ini.

Rumah roboh, bot rosak dibadai gelombang feri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Lebih 200 ke­luarga di lima perkampungan termasuk masyarakat Orang Asli yang tinggal di pesisiran pantai di Pasir Gudang, di sini, hidup dalam ketakutan kerana bimbang kediaman mereka roboh akibat dibadai gelombang hasil feri pe­ngangkutan dari negara jiran Indonesia.

Keadaan itu bukan baru berlaku sehari dua, malah sudah berlarutan sejak tiga tahun lalu.

Malah, terdapat rumah milik nelayan roboh menyembah bumi selain sering rosak tatkala kerap dipukul ge­lombang.

Seorang penduduk Orang As­li, Kelah Lah, 44, memberitahu, lima perkampungan terjejas adalah Kampung Orang Asli Teluk Kabong, Kampung Pasir Puteh, Kampung Orang Asli Kuala Masai, Kampung Orang Asli Teluk Jawa dan Kampung Senibong.

Menurutnya, pengangkutan feri itu melibatkan operator dari Indonesia yang menyediakan perkhidmatan antara Terminal Feri Pasir Gudang dan Terminal Feri Stulang Laut ke Batam dan Tanjung Pinang di Indonesia.

“Feri terbabit dipandu laju sehingga menyebabkan gelombang air yang terhasil tinggi, adakala­nya dua buah feri bergerak serentak seolah-olah berlumba antara satu sama lain.

“Kesannya apabila gelombang air itu menghentam bot dan rakit yang penduduk tambat di jeti, ia akan menyebabkan kerosakan.

“Saya sendiri terpaksa membaiki sampan selang beberapa bulan sekali akibat dinding bot pecah dan kayu rakit pecah. Setiap kali baiki ia melibatkan kos antara RM800 hingga RM1,000,” katanya ketika ditemui di Kampung Pasir Gudang Baru, di sini baru-baru ini.

Dia yang sudah menjadi nelayan sejak kecil itu berkata, kerugian menjadi semakin teruk apabila kerosakan turut melibatkan enjin bot dan jeti, selain hasil ternakan kupang.

“Pernah sekali enjin bot saya juga rosak, kerugian itu pula le­bih mahal antara RM1,500 hingga RM2,000. Kerosakan jeti pula melibatkan kos antara RM4,000 hingga RM5,000.

“Majoriti penduduk terjejas hanyalah bekerja sebagai nelayan ternakan kupang dengan pendapatan tidak menentu, jadi sampai bila kami perlu tanggung kerugian ini,” ujarnya yang memberitahu isu itu semakin kerap berlaku sejak tiga tahun lalu.

SEBUAH rumah penduduk yang roboh didakwa dibadai gelombang yang dihasillkan oleh feri penumpang di Pasir Gudang.

Seorang lagi penduduk terkesan, Tipah Bala, 50, memberi­tahu, dia berasa bimbang setiap kali keadaan air pasang kerana gelombang terhasil akan menghentam lantai kayu kediamannya yang terletak di atas air di Kampung Orang Asli Teluk Jawa.

“Apabila situasi itu berlaku, air bukan saja masuk ke dalam rumah tetapi menghentam lantai kayu menyebabkan paku tertanggal dan kayu lantai pecah sehingga mengangkat kayu ke atas.

“Ini berlaku setiap kali apabila air pasang dan gelombang air tinggi akibat feri yang berulang-alik di kawasan sekitar,” kata ibu enam anak itu.

Sehubungan itu, penduduk berharap pihak berkuasa terlibat dapat mendengar keluhan mereka dan mencari jalan penyele­saian segera demi kesejahteraan kehidupan
mereka.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd. Aziz melahirkan kebimbangan jika lebih 200 keluarga nelayan di sini mengambil tindakan sendiri andai tiada tindakan pihak berkuasa.

Katanya, sebagai wakil komuniti nelayan di lima per­­kampungan terlibat, beliau te­­lah beberapa kali bersemuka de­ngan agensi berkaitan antaranya Jabatan Laut dan Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ).

“Saya telah suarakan isu ini beberapa kali, namun sehingga kini tiada tindakan tegas diambil untuk menamatkan isu dihadapi nelayan serta komuniti menetap di kawasan perairan ini.

“Saya bimbang jika aduan dibuat nelayan dan Orang Asli mengikut saluran betul tidak diendah, mereka akan ambil langkah sendiri yang lebih drastik, itu kita tidak mahu berlaku jadi jangan abaikan isu ini,” katanya.

Katanya, masalah itu telah berlaku lebih 20 tahun lalu namun beberapa tahun kebelaka­ngan ini ia menjadi lebih teruk apabila operator feri terlibat menggunakan bot yang lebih canggih.

“Bot yang lebih canggih dan besar ini walaupun bergerak perlahan tetapi ia menghasilkan gelombang air yang tinggi hingga menjejaskan kawasan setempat.

“Difahamkan perkhidmatan fe­­ri ini bermula seawal pukul 7 pagi hingga 9 malam, dengan beberapa perjalanan ulang-alik setiap hari,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN