JITRA – Tiada siapa pernah meminta untuk dilahirkan dalam keadaan cacat atau menghidap penyakit kronik, namun itulah takdir yang terpaksa dilalui segelintir anak kecil yang dibuang ibu bapa sendiri ke rumah kebajikan.
Selepas dihantar, kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) dan tidak berdosa ini akan ditinggalkan begitu sahaja dan ibu bapa mereka langsung tidak datang menjenguk.
Sebahagian daripada mereka kini menghuni Taman Sinar Harapan (TSH) Jitra, iaitu sebuah rumah perlindungan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Ahli Lembaga Pelawat TSH Jitra, Natipah Abu berkata, terdapat 87 penghuni di rumah perlindungan itu yang terdiri daripada bayi hingga kanak-kanak berusia 14 tahun.
“Mereka ini insan istimewa. Ada yang menghidap sindrom Down, cerebral palsy, autisme tahap teruk, kepala besar atau hydrocephalus, tulang rapuh, sumbing dan pelbagai masalah kesihatan lain.
“Banyak kes yang mana mereka ini dibuang keluarga disebabkan kecacatan dan penyakit yang dideritai. Mungkin ada yang enggan menjaga anak cacat, ditambah pula dengan bebanan kewangan yang perlu ditanggung,” katanya ketika ditemui Kosmo!

Natipah yang juga seorang aktivis berkata, selain itu, ada juga kes melibatkan ibu bapa yang tidak dapat dikesan, anak yatim piatu, kemiskinan, penjaga di penjara serta bayi yang ditinggalkan termasuk di hospital sejurus selepas dilahirkan.
Katanya, walaupun mereka dijaga dengan baik di TSH, namun perasaannya tetap runtun dan sayu setiap kali mengunjungi penghuni di situ.
“Ramai yang terlantar dan tatapan mereka sayu, seolah-olah dahagakan pelukan dan kasih sayang. Apabila kami sampai, mereka sangat gembira kerana dapat bermanja, malah ada yang menghulurkan tangan minta didukung.
“Kehadiran kami mungkin sedikit sebanyak dapat mengubati kerinduan mereka terhadap sentuhan seorang ibu atau ayah. Saya sendiri menangis setiap kali menjejakkan kaki ke rumah perlindungan itu,” katanya.
Menurutnya, ahli lembaga pelawat sentiasa menganjurkan pelbagai program bersama penghuni seperti majlis berendoi untuk bayi, selain membawa mereka keluar beriadah dan membeli pakaian baharu.
Katanya, terdapat juga dalam kalangan penghuni yang mengalami kecacatan kecil atau masalah kesihatan ringan, akan sembuh selepas menjalani pembedahan serta rawatan.
“Sebagai contoh, ada yang ‘dibuang’ kerana sumbing, namun mereka boleh menjalani pembedahan bagi memperbaiki kekurangan itu.
“Baru-baru ini, seorang penghuni berusia dua tahun yang sumbing baru sahaja menjalani pembedahan. Saya bantu upah orang bagi menjaganya sepanjang berada di hospital,” katanya. -KOSMO! ONLINE














