fbpx
Pengguna disaran supaya memantau penggunaan elektrik menerusi aplikasi MyTNB.

Rakyat ubah cara hidup guna barang elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sebahagian besar daripada 23 juta pengguna berdaftar di negara ini mula mengubah cara hidup selepas kerajaan mengumumkan penstrukturan semula tarif elektrik bermula pada 1 Julai lalu.

Rata-rata yang ditemui me­ngakui mereka mula menyusun semula jadual penggunaan pera­latan elektrik seperti mesin ­basuh, pendingin hawa, penapis air dan udara, seterika dan pengecas te­lefon bimbit.

Salah satu intipati penstrukturan semula tarif elektrik tersebut adalah Skim Masa Penggunaan (ToU).

Skim itu memberi fleksibiliti kepada pelanggan atau pengguna untuk mengubah corak penggunaan dan memanfaatkan kadar tarif yang lebih rendah di luar waktu puncak.

ToU mempunyi dua zon dari 2 petang hingga 10 malam (puncak) dan 10 malam hingga 2 petang (luar puncak) bagi tarif lebih rendah. Pada masa sama, kadar luar puncak turut diperluaskan pada Sabtu dan Ahad.

Seorang perunding pemasaran, Anis Rosli, 27, berkata, antara langkah pertama yang dilaksanakan sejak penstrukturan tarif elektrik adalah menyusun jadual penggunaan mesin basuh, seterika dan pendingin hawa.

“Untuk itu saya menggunakan mesin basuh dua kali seminggu. Untuk seterika pula, saya kumpul pakaian dan digosok sekali gus. Saya juga tetapkan had masa guna pendingin hawa pada waktu malam sahaja,” katanya.

Anis turut menggantikan lampu kepada mentol diod pemancar cahaya (LED) yang lebih cekap tenaga serta suis khas bagi memudahkan menutup peralatan elektrik sekiranya tidak digunakan.

“Saya tidak lagi membiarkan peralatan elektrik dalam mod ‘standby’. Televisyen, komputer dan pengecas akan ditutup lepas digunakan. Nampak kecil, tapi beri kesan ketara (bil),” katanya.

Suri rumah, Norshuadah Abu Bakar memastikan suis ditutup sekiranya tidak digunakan di rumahnya di Kampung Ulu Kuang, Chemor, Ipoh.
– MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Anis berkata, perubahan itu memerlukan penyesuaian pada peringkat awal, namun kini sudah menjadi kebiasaan.

“Sebagai pengguna, kita perlu bijak menyesuaikan diri. Ini bukan soal bil sahaja, tapi juga kesedaran sivik. Setiap individu perlu memainkan peranan dalam mengurus sumber tenaga dengan bertanggungjawab,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Mohd. Nor Alwi, 42, berkata, dia sekeluarga akan menutup suis dan menanggalkan plag selepas menggunakan peralatan elektrik.

“Sebelum ini tidak cabut plag seterika, tetapi sekarang dicabut selepas penggunaannya. Begitu juga perkakasan elektrik lain seperti ketuhar gelombang,” katanya.

Secara purata, penggunaan elektrik di rumahnya adalah 441 hingga 450 kilowatt (kw) sebulan atau RM150 sebulan.

Sementara itu, Nor Idayu Ramzan, 38, berkata, sebagai langkah penjimatan, dia mengurangkan penggunaan penghawa dingin pada waktu puncak.

“Setakat ini penggunaan elektrik di rumah (teres dua tingkat) tidaklah begitu tinggi sekitar 450kW,” katanya.

Bagi Anita Ali, 40, pula, ahli keluarganya menggunakan peralatan elektrik secara berhemah di luar waktu puncak.

“Kami menukar lampu pijar dan kalimantang kepada LED. Memang risau tapi kita perlu bijak supaya bil tidak melambung.

“Mesin basuh dan seterika digunakan pada waktu malam sahaja,” katanya.

Anita turut memantau penggunaan elektrik melalui aplikasi MyTNB agar tidak melebihi 600 kWj) sebulan bagi mengelak dikenakan caj tambahan.

“Guna MyTNB lebih mudah. Bila makin tinggi, kita akan berjaga-jaga dan lakukan sesuatu,” katanya.

Anita turut menyarankan orang ramai supaya mengambil langkah berjimat seawal mungkin agar tidak terbeban.

Katanya, perubahan kecil memberi kesan besar jika ahli keluarga bersama-sama mengambil langkah mengawal penggunaan tenaga elektrik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN