fbpx
Sebahagian pekerja berjalan keluar selepas SPRM menggempur salah sebuah premis di Pulau Pinang semalam.

Komplot seludup besi buruk ke China, India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Kegiatan ha­ram satu sindiket merasuah pe­nguat kuasa untuk memboleh­kan mereka menyeludup besi buruk ke India dan China sejak enam tahun lalu terbongkar selepas diserbu di 19 lokasi melibatkan lima negeri semalam.

Selain Pulau Pinang, Op Me­tal oleh sepasukan anggota dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu turut dilancarkan secara serentak bermula pukul 5 pagi semalam di Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Kedah.

Di Pulau Pinang, seramai lima agensi media turut sama dalam serbuan di dua lokasi di George Town dan Bukit Mertajam.

Sumber berkata, operasi itu melibatkan Bahagian Operasi Khas SPRM menerusi Multi Agency Task Force dengan kerjasama kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara Malaysia.

Katanya, sindiket yang dipercayai didalangi warga tempatan dan asing itu dipercayai membayar rasuah kepada penguat kuasa sehingga kerajaan mengalami kerugian hasil cukai eksport mencecah lebih RM950 juta.

Difahamkan, sindiket mengikrarkan besi buruk itu sebagai barangan jentera serta logam lain ketika hendak di­eksport yang tidak dikenakan cukai eksport sebanyak 15 peratus sebagaimana dasar ditetapkan kerajaan.

“Serbuan pertama melibatkan sebuah banglo tiga tingkat di Batu Maung milik pengusaha syarikat besi buruk bergelar Datuk. Bagaimanapun, ketika serbuan suspek tiada di situ dan dipercayai berada di India bersama ahli keluarganya.

Anggota SPRM menyerbu salah sebuah premis besi buruk di Pulau Pinang semalam.

“Berdasarkan maklumat, SPRM telah menyerbu sebuah pusat penyimpanan dan pemprosesan besi buruk di Jalan Bukit Minyak, Bukit Mertajam pada pukul 9 pagi. Kita menemui longgokan besi buruk yang belum dan telah diproses selain terdapat 30 pekerja warga asing dan tempatan,” katanya.

Tinjauan mendapati, lokasi berkenaan terletak di tepi jalan dan beroperasi di sebalik zink.

Kesemua pekerja tergamam sebaik melihat kelibat Skuad Taktikal Anti Rasuah menyerbu ma­suk dan tidak sempat melarikan diri memandangkan lokasi ber­kenaan terlebih dahulu dikepung pihak berkuasa terbabit.

Bagaimanapun, kesemua­nya dibebaskan selepas pihak berkuasa mengambil keterangan daripada penyelia mereka.

Menurut sumber itu, serbuan turut melibatkan pejabat serta tempat tinggal individu-individu disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut.

Banglo milik seorang ahli perniagaan bergelar Datuk turut diserbu oleh anggota SPRM dalam operasi Op Metal di Pulau Pinang semalam.

Tambahnya, bagi memastikan besi-besi ini dapat melepasi pemeriksaan dan mengelak dikenakan cukai, sindiket ini dipercayai telah merasuah beberapa pegawai-pegawai ­penguat kuasa.

“Tindakan pengawai penguat kuasa yang bersekongkol dengan sindiket itu menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai kira-kira RM160 juta setahun atau keseluruhannya lebih RM950 juta bagi tempoh enam tahun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan mengenai serbuan dijalankan di lima negeri berkenaan melibatkan pengilang dan syarikat yang mengeksport besi buruk ke luar negara.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan siasatan turut memberi fokus bagi mengenal pasti individu-individu terlibat termasuk penjawat awam yang melindungi kegiatan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN