GEORGE TOWN – “Saya tidak pernah mohon pun, tapi boleh pula dapat surat tawaran, siap dengan nama penuh saya.”
Itulah luahan seorang remaja, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, berusia 18, apabila menerima lebih 10 mesej menerusi WhatsApp dan tiga surat tawaran daripada institusi pengajian swasta (IPTS) yang tidak pernah dimohonnya sebelum ini.
Dakwa anak sulung dari dua beradik itu, dia menerima pelbagai mesej menerusi WhatsApp dan surat rasmi sejak beberapa minggu lalu yang menawarkan pelbagai jenis kursus daripada IPTS sehinggalah kelmarin.
“Saya terkejut sebab mesej dan surat ada yang siap tertera nama penuh. Saya tak pernah kongsi nombor atau mohon sambung belajar dengan pihak-pihak berkenaan.
“Antara surat dan mesej tawaran yang saya terima adalah untuk melanjutkan pengajian dalam pelbagai jurusan pengajian, termasuk mekatronik, kulinari, dan program kru kabin,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Mengulas lanjut, dia berkata, selain itu, mesej lain yang turut diterima termasuklah pautan pendaftaran, iklan kursus dan permintaan untuk mengesahkan minat ke institusi terbabit.
Katanya, lebih membimbangkan terdapat mesej yang dihantar terus kepada ibunya yang kemudian menegurnya kerana menyangka remaja itu mendedahkan nombor telefon mereka.
“Sampai saya kena marah dengan ibu kerana dia ingatkan saya dedahkan nombor telefon kepada pihak lain. Tapi saya tak pernah bagi nombor pun. Saya sendiri tak pasti dari mana mereka dapat data kami,” katanya.
Lebih pelik, katanya, salah satu surat yang diterima dihantar dari Puchong dan dia tidak pernah membuat permohonan ke mana-mana IPTS beralamat di sana.
“Mak saya dah buang surat tu. Tapi ada tiga semuanya. Semua tawaran untuk program yang saya tidak pernah mohon, yang hairannya, saya pun tak pernah daftar maklumat diri secara rasmi dengan mana-mana IPTS pun,” katanya.
Tambahnya, mesej yang dihantar kepadanya bukan sahaja umum, tetapi ada yang menyebut namanya dengan jelas, sesuatu yang merisaukannya kerana maklumat peribadi seperti itu sepatutnya dilindungi.
“Insiden ini menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan berlaku kebocoran data dari pada pihak ketiga seperti penganjur kaji selidik, pameran pendidikan atau platform digital tidak rasmi,” katanya.














