SUNGAI PETANI – Seorang lelaki yang mati ditembak polis di Bandar Puteri Jaya dekat Sidam Kiri di sini, pada Sabtu lalu, baru sahaja menyewa sebuah rumah bersama isterinya di kawasan perumahan itu, kira-kira dua minggu lalu.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, kehadiran pasangan itu tidak menimbulkan sebarang kecurigaan kerana suspek berkelakuan seperti penduduk biasa.
Katanya, tiada sebarang kekacauan berlaku sepanjang tempoh mereka menetap di situ sehinggalah kejadian berbalas tembakan berlaku pada malam Sabtu lalu.
“Kami hanya tahu tentang kejadian selepas terdengar bunyi bising seperti letupan mercun pada malam itu,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurutnya, rata-rata penduduk masih terkejut dan tidak menyangka seorang penjenayah berprofil tinggi tinggal di kawasan kejiranan mereka.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada pihak polis yang bertindak pantas membanteras penjenayah ini sebelum sesuatu yang buruk berlaku,” ujarnya.
Terdahulu, seorang lelaki berusia 34 tahun yang disyaki ketua geng samun maut ditembak polis dalam kejadian berbalas tembakan kira-kira pukul 7.50 malam Sabtu lalu selepas dikejar dari Plaza Tol Sungai Petani Utara ke Bandar Puteri Jaya.
Suspek yang memiliki lebih 30 rekod jenayah itu ditemukan maut dalam sebuah kereta jenis Toyota Camry bersama sepucuk pistol dan beberapa barang kes lain.
Dia dipercayai mempunyai kaitan dengan dua lagi lelaki yang turut mati ditembak di Jitra, Kedah pada pagi hari sama.
Susulan itu, polis menahan isteri suspek di sebuah rumah sewa berhampiran lokasi kejadian.
Pemeriksaan di rumah itu menjumpai sepucuk pistol, beberapa butir peluru dan dadah.














