TANJUNG MALIM – Kesukaran hidup sebagai orang kurang upaya (OKU) yang kehilangan kaki kiri tidak menghalang seorang lelaki berusia 50 tahun untuk mencari rezeki dengan cara menjual pelbagai jenis sayur di sekitar daerah ini.
Malah, Jefree Regan yang tinggal seorang diri di rumah pusaka keluarganya di Kampung Sungai Bil, Slim River pernah berjalan kaki untuk pergi dan balik sejauh 40 kilometer untuk menjual hasil sayuran seperti pucuk paku, petai, jering, daun pisang, pisang dan pucuk ubi di sekitar kawasan Tanjung Malim untuk mencari rezeki.
Menurut lelaki itu, dia sentiasa berpegang teguh kepada pesanan arwah ibunya agar tidak sesekali menyusahkan orang lain selagi mana masih diberi kudrat untuk mencari rezeki.
“Saya bukan tidak mahu berkahwin, tetapi saya sebenarnya enggan menyusahkan pasangan hidup hanya kerana kekurangan fizikal.
“Arwah ibu juga sentiasa berpesan jangan susahkan sesiapa termasuk adik-beradik. Itu menyebabkan saya tidak suka meminta pertolongan orang lain.
“Saya telah duduk bersendirian selama 15 tahun. Dahulu pernah bekerja kontrak memasang jubin rumah orang, namun semasa tidur di rumah kongsi, kediaman itu terbakar sehingga kehilangan kaki kiri. Tapi itu hanya ujian kecil,” katanya anak bongsu daripada 12 beradik itu.
Katanya, selain bantuan RM400 sebulan yang diterima daripada Baitumal, dia juga memperoleh rezeki dengan mengutip pucuk paku, petai, jering, daun pisang, buah pisang dan pucuk ubi di kampungnya untuk dijual.
“Saya pernah menjualnya sehingga di Tanjung Malim yang perjalanan pergi balik kira-kira 40 kilometer (km) dengan berjalan kaki. Jika dijual di kampung-kampung kebanyakan mereka tanam sendiri.
“Kadang-kadang ada orang kasihan dengan menumpangkan saya pergi dan balik ke rumah, tetapi bukanlah selalu kerana lebih baik berusaha dengan kudrat sendiri,” katanya.
Menurut Jefree, sebelum ini dia mempunyai sebuah motosikal dan telefon bimbit, tetapi telah dicuri orang yang menyebabkan beliau terputus sumber pengangkutan selain berkomunikasi dengan orang lain.
“Saya hidup dengan apa yang ada. Jika demam beli sahaja ubat dan jika makan sehari sekali pun tidak mengapa asalnya dapat mengisi perut. Ramai lagi yang lebih menderita, tiada kediaman dan tidak makan.
“Saya pun tiada hutang dengan orang lain termasuk keluarga. Ada tempat berteduh dan boleh makan lebih baik kerana arwah mak berpesan sebelum meninggal dunia jangan menyusahkan sesiapa. Berdiri dengan kaki sendiri walaupun kaki kiri telah tiada,” katanya.
Berhubung rumahnya yang tidak mempunyai sumber elektrik, beliau berkata, ia disebabkan oleh atapnya yang bocor kerana dirosakkan oleh kera di kawasan kampung.
Katanya, ia bukan disebabkan dia tidak mampu membayar bil utiliti tetapi lebih mementingkan keselamatannya.
“Rumah saya agak berselerak. Bukan tidak mahu membersihkan tetapi setiap kali hujan rumah digenangi air kerana banyak atap yang bocor.
“Cuma ada kawan yang membantu membersihkan tetapi tidaklah kerap kerana dia juga mempunyai pekerjaan sendiri. Ada juga orang kampung membantu, namun setiap orang ada komitmen sendiri selain saya tidak ingin susahkan sesiapa,” katanya.
Situasi itu juga menyebabkan beliau tidak memasak di rumah yang memerlukannya pergi ke kedai makan yang terletak kira-kira 7 km dari rumahnya.
“Sebelum ini ada dapur gas dan memandangkan rumah bocor, lebih baik beli di luar dengan jarak kedai sejauh 7 km. Jadi pergi balik 14 km dan itu tidak kira hari panas atau hujan. Saya akan redah redah untuk isi perut.
“Lagipun, saya hanya kehilangan kaki kiri tetapi fizikal masih kuat, jadi mengapa perlu duduk terbaring di rumah semata-mata dengan mengharapkan bantuan orang lain,” katanya.
Beliau berkata, abang dan kakaknya ada datang menziarahinya untuk bertanya khabar selain menghulurkan bantuan tetapi tidak kerap kerana masing-masing mempunyai komitmen tersendiri.
“Sekiranya atap rumah dapat dibaiki selain mempunyai kemudahan motosikal saya dapat bekerja dengan lebih kuat lagi untuk menampung kehidupan. Setakat ini, ramai yang bantu iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pejabat agama dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, Jefree merupakan salah seorang daripada 13,000 asnaf yang menerima bantuan kewangan bulanan secara tetap Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sejak 2016.
Katanya, individu berkenaan juga dibantu dengan bantuan kecemasan secukupnya setiap kali hadir pejabat MAIPk setiap minggu.
“Dia juga termasuk penerima sumbangan tambahan bagi sambutan Aidilfitri dan Aidiladha 2025,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai kisah seorang lelaki OKU yang berjalan meredah hujan di tepi jalan dengan hanya menutup kepalanya dengan plastik kuning sebelum dia dibantu seorang pemandu yang mempelawanya untuk menaiki kereta.
Perkongsian itu kemudian mendapat pelbagai respons dan simpati daripada orang ramai.
















