Bahagian 2 (sambungan dari minggu lalu).
Ada hari-harinya saya tidak dapat menangkap seekor pun ikan trout. Misalnya, hari saya pergi ke satu lubuk yang terletak 45 minit berjalan kaki dari kereta. Niat untuk memancing di lubuk kegemaran itu tidak kesampaian kerana saya terlepas satu simpang kecil menuju ke sana.
Saya teruskan memancing di lubuk di atasnya kerana belum mencubanya sebelum ini. Hasilnya kosong, tetapi seorang pemancing lain di tebing bertentangan berjaya menangkap beberapa ekor ikan trout menggunakan teknik wet lining iaitu satu teknik yang saya tidak begitu arif. Saya biasanya hanya mengaplikasikan teknik nymphing atau berhanyut dry fly.
Local fishing guide
Saya berpatah balik dan akhirnya jumpa simpang kecil yang saya terlepas tadi. Selepas 15 minit berjalan, saya tiba di lubuk dan mendapati ia sedang dipancing oleh tiga orang, dengan salah seorang daripadanya merupakan pemandu pancing (fishing guide) tempatan.

Saya sempat berbual dengan mereka dan apabila fishing guide itu tahu saya masih tidak dapat lagi ikan. Dia dengan ikhlas memberi nasihat tentang teknik memasang indikator yang lebih berkesan.
Malah, dia menggunakan bahan miliknya untuk membuatkan indikator baharu dan memberikan saya satu umpan layang. Sungguh murah hati, walaupun saya bukan pelanggannya.
Pemancing tempatan
Pada hari yang lain pula, saya ke satu kawasan lain di sungai sama, menyeberang ke sebuah pulau kecil di tengah sungai dan berjalan hingga ke hujungnya. Di situ, saya melihat seorang pemancing tempatan sedang memancing di bawah sebatang pokok willow.
Saya tunggu dari jauh supaya tidak mengganggu ikan yang sedang dia buru. Selepas 10 minit, dia menggulung tali pancing, lalu saya dekati dan berbual dengannya.
Kami bertukar-tukar maklumat dan banyak perkara yang saya dapat belajar daripadanya. Dia juga sudah puas memancing dan mahu pulang. Saya pula sambung berjalan ke bahagian atas pulau. Saya cuba menghulur umpan layang cicada saiz besar dan ia bersahut seekor rainbow trout yang agresif.
Ikan itu jauh lebih besar dan bertenaga. Ia melawan arus, dengan sabar dan kawalan baik, saya berjaya menaikkannya walaupun sedikit sukar kerana bersaiz kasar.
Lewat senja
Pada dua malam terakhir, sebelum matahari terbenam, saya menjumpai dua tempat di mana ikan trout sedang naik ke permukaan air dengan kerap. Di tempat pertama, saya melihat dua ekor trout di dalam lubuk yang kecil tetapi saya tinggalkan kerana melihat lubuk berhampiran ada lebih banyak ikan trout sedang naik makan serangga. Saya habiskan hampir sejam mencuba pelbagai jenis dry fly dan nymph, namun hampa.
Tidak berputus asa, saya tukar kepada umpan layang jenis parachute Klinkenhammer berwarna ungu. Ia terus dilahap, dan ikan memecut ke hilir lubuk. Saya mengambil masa lima minit untuk jinakkannya, sebelum ia dijadikan makan malam.
Pada malam terakhir, saya kembali dengan semua jenis umpan yang saya bawa ke New Zealand. Di tempat pertama, dua ekor trout masih terus makan sesuatu yang sangat kecil di permukaan air, tetapi langsung tak mengendahkan semua umpan saya. Selepas 45 minit, saya beralih ke lubuk kedua.
Saya cuba beberapa umpan baharu, semuanya diabaikan. Kemudian, saya guna semula umpan yang berjaya pada malam sebelumnya, juga tidak berhasil. Hampir dua jam saya mencuba berbagai cara, dan akhirnya saya pasangkan umpan kecil berkilat (midge wet fly) yang digantung di bawah dry fly, barulah berhasil seekor trout yang merupakan ikan penamat trip saya ke New Zealand.
Banyak perkara yang boleh dipelajari dalam dunia memancing trout ini. Tidak ada jalan pintas, melainkan memerhati dan belajar bagaimana orang tempatan memancing kerana mereka lebih arif.














