fbpx
Kebebasan merupakan asas kepada kewujudan demokrasi dalam sesebuah negara. - IMEJ JANAAN AI

Bebas bersuara bukan satu ancaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PRINSIP kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat merupakan sebahagian daripada hak asasi manusia sejagat selain ia juga termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan negara kita.

Dalam hal ini, kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat tidak perlu dilihat sebagai satu ancaman ataupun musuh, malah ia juga tidak wajar disekat bagi membolehkan hak itu ‘diterjemahkan’ rakyat.

Bagaimanapun, kebebasan bersuara atau melakukan bantahan masih ada batasan. Jangan pula sampai negara menjadi huru-hara.

Menurut pensyarah Fakulti Syariah dan Undang–Undang Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow, kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat dilihat penting untuk setiap individu.

Katanya, hak itu bakal membolehkan seseorang individu mempertahankan diri selain membantu masyarakat sekeliling serta memajukan negara.

“Agak sukar untuk seseorang individu, masyarakat dan negara maju dan bergerak ke hadapan sekiranya hak mereka untuk bersuara dan meluahkan pendapat tidak dihormati.

“Ini kerana setiap manusia dilahirkan unik dan berbeza dengan memiliki pelbagai ragam, pandangan, dan pemikiran.

“Setiap keunikan dan perbezaan ini sekali gus melahirkan pelbagai jenis pemahaman dan pendapat yang berbeza antara satu sama lain,” katanya kepada Kosmo!.

Dalam konteks tersebut, pemahaman dan pendapat berbeza seharusnya didengari, dinilai dan dipertimbangkan, seterusnya digunakan bagi membantu masyarakat dan negara bergerak ke hadapan demi manfaat dan kebaikan semua pihak.

“Sekiranya kita mewujudkan sebarang jenis undang-undang baru ataupun menggunakan peruntukan sedia ada bagi mengekang kebebasan orang ramai bersuara, ia dibimbangi membantutkan kemajuan dan pembangunan negara.

“Kebebasan setiap orang bersuara merupakan sebahagian daripada hak asasi setiap manusia.

“Sebagai contoh, Artikel 19 Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) memperuntukan dengan jelas kebebasan setiap manusia serata dunia untuk bersuara bagi meluahkan pandangan dan pendapat mereka,” katanya.

Pada masa sama, setiap individu perlu mengetahui bahawa kebebasan bersuara ialah penting bagi mengekalkan semangat demokrasi yang lama diamalkan di Malaysia.

“Hak setiap rakyat Malaysia untuk bersuara juga jelas termaktub dan dilindungi dibawah Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

“Bahagian II dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukan dengan jelas mengenai kebebasan asasi setiap warganegara dalam negara kita.

“Salah satu bentuk kebebasan asasi yang jelas dilindungi dalam negara kita ialah kebebasan setiap rakyat negara ini untuk bercakap, berhimpun dan berpersatuan seperti yang jelas terkandung di dalam Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Susulan itu, kebebasan itu merupakan asas kepada kewujudan demokrasi dalam sesebuah negara serta ia penting bagi menjamin serta melindungi maruah setiap diri manusia serta menjamin kemajuan dan pembangunan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN