ALOR SETAR – Seorang pekerja swasta bersyukur apabila tidak dihukum penjara selepas terlibat kemalangan yang mengakibatkan dua wanita Thailand maut dalam kejadian di Phichit, Thailand pada tahun lalu.
Lelaki terbabit yang mahu dikenali sebagai Mohamad, 50, bagaimanapun perlu membayar denda sebanyak 25,000 baht (RM3,256) serta diperintah berkelakuan baik selama dua tahun dengan tidak terlibat kemalangan di negara Gajah Putih itu.
Menurut Mohamad, prosiding keputusan kes itu berlangsung di Mahkamah Tinggi Phichit pada Isnin lalu.
“Saya terlibat kemalangan di Thailand pada Disember tahun lalu dan selepas insiden itu, saya terpaksa menyelesaikan banyak perkara termasuk lima kali berulang alik ke Mahkamah Tinggi Phichit untuk proses perbicaraan.
“Selain itu, saya menerusi bantuan syarikat insurans, ANF Asia Global Services Sdn. Bhd. menyantuni keluarga kepada kedua-dua mendiang dan menyelesaikan segala urusan berkaitan tuntutan insurans dengan baik,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 291 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi 200,000 baht (RM26,062) atau kedua-duanya.
Dalam kemalangan itu, dua wanita Thailand yang maut berusia 58 dan 64 tahun, manakala Mohamad dan isterinya mengalami kecederaan.
Kata Mohamad, dia sebelum ini tidak putus-putus berdoa agar tidak dipenjara di negara tersebut dan bersyukur doa itu termakbul.
“Selepas kemalangan itu, saya dalam keadaan tertekan, namun alhamdulillah, ramai kawan yang memberi semangat kepada saya. Dengan bantuan dan sokongan ANF, segala urusan selepas kemalangan di sana diuruskan dengan sempurna kerana ada wakil syarikat warga Thailand, jadi tiada masalah untuk berkomunikasi,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Pengurus Besar ANF Cawangan Thailand, Che-amah Yisalaeh, pelanggan ANF terbabit bernasib baik kerana tidak dipenjara memandangkan pertuduhan yang dihadapi serius iaitu memandu laju sehingga mengakibatkan kematian.
Katanya, pelanggan terbabit menunjukkan kelakuan yang baik iaitu menghadiri setiap perbicaraan di mahkamah serta menyantuni keluarga mendiang dengan bantuan ANF selain pembayaran pampasan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan ANF Asia Global Services Sdn. Bhd., Mohd. Fairuz Mohd. Yusof berkata, ANF berusaha sedaya upaya bagi membantu pelanggan termasuk memohon hukuman diringankan menerusi bantuan serta sokongan rangkaian sedia ada.














