KUALA LUMPUR – Seorang ibu sanggup membenarkan serta menyaksikan sendiri teman lelakinya mencabul dan merogol anak perempuannya berusia 14 tahun di kediaman mereka di sini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, kejadian berlaku pada pertengahan tahun lalu sekitar pukul 4 petang semasa mangsa tidur di dalam bilik tidur ibunya.
Siti Kamsiah berkata, mangsa kemudian terjaga apabila berasa ada orang menyentuhnya.
“Sebaik membuka mata, mangsa melihat ibunya, 36, dan teman lelaki berusia 61 tahun berada di sebelah.
“Suspek lelaki kemudian bertindak merogol mangsa disaksikan ibunya,” katanya.
Kemudian, beliau berkata, pada 25 Jun lalu, mangsa melihat mesej antara ibu dan teman lelakinya yang merancang untuk melakukan hubungan seks sekali lagi terhadap diri mangsa di sebuah hotel.
Ujarnya, mangsa yang ketakutan melarikan diri ke rumah rakannya sebelum membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah untuk tindakan selanjutnya.
“Susulan itu, polis kemudian menahan ibu mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan kekasihnya yang bekerja sendiri semalam.
“Mereka direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan,” katanya.- KOSMO! ONLINE