KOTA TINGGI – Sepasang kasut yang dibeli pasangan suami isteri untuk anak tunggal menjadi kenangan terakhir sebelum mereka maut dalam kemalangan tragis tahun lalu hingga mengundang sebak kepada ibu angkat bayi itu setiap kali ia dipakai.
Liza Bachok, 43, berkata, bayi angkatnya, Nur Laylaa Batrysha yang berusia 11 bulan kehilangan ibu, Nur Fatihah Othman, 28, dan bapanya, Muhamad Lokmanorhakim Mokhtar, 24, dalam nahas di Kilometer 54.5 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi pada 16 November 2025.
Nahas berlaku apabila kereta Perodua Myvi dinaiki pasangan itu bertembung dengan lori sawit menyebabkan Nur Laylaa cedera dan menerima rawatan hospital hampir tiga minggu ekoran patah bahu kanan dan pendarahan kecil di kepala.
“Saya dan suami (Nor Hairul) yang juga abang Allahyarham Nur Fatihah mengambil alih tanggungjawab menjaga Nur Laylaa.
“Setiap kali Laylaa jalan dengan memakai kasut raya dibeli arwah ibunya, hati saya sebak sebab arwah kata pada suami yang dia sudah beli kasut untuk anaknya lebih awal kerana menjangkakan dia boleh berjalan menjelang Aidilfitri ini,” katanya ketika ditemui di Taman Pasak Indah di sini.
Menurut Liza, Allahyarham Nur Fatihah turut membeli kain pasang untuk baju raya mereka tiga beranak namun hanya tinggal kenangan.
Katanya, walaupun Nur Laylaa tidak tahu kisah di sebalik kasut tersebut, dia tahu itu adalah kenangan terakhir Allahyarham Nur Fatihah untuk bayinya.
“Kasut itu kami simpan baik-baik. Bila Nur Laylaa pakai, rasa macam arwah ibunya masih ada bersama,” katanya.
“Bila sampai rumah dia menangis tanpa henti hingga kami buntu. Lepas letak baju ibu dia di sebelah, baru dia tidur lena hingga kami sebak melihatnya,” katanya.














