PETALING JAYA – Lebih 70,000 kenderaan elektrik (EV) pelbagai jenama berada di jalan raya ketika ini, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada stesen pengecas kenderaan itu mencukupi di seluruh negara.
EV semakin popular kerana kurang penyelenggaraan dan caj elektrik lebih murah berbanding petrol, malah kini terdapat EV yang dijual pada harga mampu milik iaitu Proton e.MAS 5.
Jualan e-MAS 5 melepasi jualan 5,000 unit setakat awal Mac lalu sejak pelancaran pada 30 Oktober 2025.
Perodua juga melancarkan EV iaitu QV‑E pada 1 Disember 2025 dengan kapasiti pengeluaran awal sekitar 500 unit sebulan.
Bagaimanapun, setakat ini kurang daripada 6,000 unit stesen pengecas EV yang tersedia di seluruh negara.
Pakar automotif tempatan, Erywan Nor Shal berkata, stesen pengecas masih lagi terhad terutama di kawasan Pantai Timur.
Katanya, kebanyakan ‘plug’ berada di sekitar Lembah Klang, selatan dan utara tanah air.
“Jadi bagi pengguna EV terutama yang ingin ke Pantai Timur perlu merancang perjalanan dengan sebaiknya kerana tidak banyak ‘plug’ disediakan sepanjang laluan ke Pantai Timur seperti ke Kelantan.
“Sebagai contoh jika melalui jalan Bentong, Raub, Kuala Lipis, Gua Musang hinggalah ke Kota Bharu, stesen pengecas adalah sangat terhad.
“Misalnya apabila tiba di bandar besar seperti Kota Bharu, barulah ada banyak stesen pengecas. Ia akan menjadi masalah terutama apabila tiba musim perayaan dan cuti sekolah apabila trafik tinggi,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, ketika ini, stesen pengecas EV banyak tertumpu di kawasan bandar sahaja.
“Jadi untuk pengguna EV mampu milik, range atau jarak pemanduan juga terhad dan akan memberi kerisauan kepada pemandu,” katanya.
Erywan yang juga Pengarah Urusan Motoqar berkata, EV mampu milik sesuai digunakan di sekitar bandar serta kawasan yang banyak stesen pengecas.
“Contohnya ulang-alik ke tempat kerja atau pergi ambil dan hantar anak sekolah sesuailah.
“Bagi saya, buat masa sekarang, EV masih tidak praktikal untuk digunakan sepenuhnya, perlu juga ada kereta menggunakan minyak atau hibrid. EV untuk jarak dekat, kereta konvensional untuk balik kampung,” ujarnya.
Seorang lagi penganalisis automotif, Amin Ashaari berkata, jumlah stesen pengecas EV masih jauh daripada sasaran awal pihak kerajaan iaitu 10,000 stesen menjelang hujung 2025.
“Sebagai pemandu EV sendiri, saya boleh katakan, isu sebenar bukanlah kuantiti. Ia adalah tentang ketersediaan dan lokasi.
“Sebab itu saya fokus infrastruktur pengecas EV negara perlu beralih daripada sasaran angka kepada memenuhi keperluan pengguna secara praktikal dengan membangunkan hab pengecasan berskala besar yang sekurang-kurangnya mempunyai 20 pengecas DC (arus terus).
“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan peluang pengecas tersedia apabila diperlukan, tetapi yang lebih penting membina keyakinan pengguna untuk menggunakan EV, terutama mereka yang tinggal di kediaman bertingkat,” katanya.
Menurutnya, dengan kemunculan EV mampu milik seperti Proton e.MAS 5, ia menunjukkan peningkatan pengguna EV dalam kalangan golongan M40.
“Bagaimanapun, majoriti daripada mereka tinggal di perumahan bertingkat, tempat di mana akses kepada titik pengecasan adalah amat mencabar,” katanya.
Pakar automotif, Hezeri Samsuri pula mencadangkan agar stesen pengecas EV juga perlu lebih banyak daripada stesen minyak yang ada sekarang.
Katanya, stesen pengecas memerlukan masa lebih lama untuk mengecas berbanding tempoh mengisi minyak.
Berdasarkan data Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, sehingga 30 September tahun lalu, terdapat 5,149 stesen pengecas awam di seluruh negara meliputi 1,709 unit jenis DC, manakala 3,440 unit jenis arus ulang-alik (AC).
Sebelum ini, kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan 10,000 stesen pengecas EV di seluruh negara menjelang akhir tahun 2025. -KOSMO! ONLINE














