SETIAP kali melihat menu berasaskan sardin, fikiran Salbiah (bukan nama sebenar) mula merawang disebabkan duka lampau.
Lebih sedekad menyimpan cerita, anak jati Kuala Kangsar, Perak itu memberanikan diri berkongsi kepada K-Wanita mengenai kisah silamnya ketika masih bergelar isteri.
Memulakan kisah, Salbiah memberitahu, dia mengenali bekas suaminya melalui orang tuanya dan perkenalan mereka cukup singkat.
“Saya kenal dengan bekas suami atas aturan ibu bapa saya. Din (bukan nama sebenar) merupakan anak kepada salah seorang kenalan bapa saya.
“Din sedikit berusia jika dibandingkan dengan saya. Jarak usia kami sekitar 10 tahun. Dia juga mempunyai kerja yang baik,” katanya.
Meneruskan perkongsian, usai bernikah, dia mengikut Din berpindah ke Selangor bagi memulakan kehidupan sebagai pasangan suami isteri di sana.
Jelas anak bongsu daripada lima beradik itu, selepas berkahwin, Din sangat baik dan menjaganya dengan penuh kasih sayang.
“Meskipun baru kenal dan tidak pernah bercinta, kami bahagia bersama. Kami mula bercinta usai disatukan.
“Suami tidak membenarkan saya bekerja kerana mahu saya menjadi suri rumah sepenuh masa, sekali gus membantu menguruskan dia dan anak-anak.
“Dia (suami) merupakan seorang penolong pengurus di sebuah ladang kelapa sawit yang terletak di Kuala Selangor, jadi soal duit tidak menjadi masalah,” katanya.
Berkongsi lanjut, wanita berusia 48 tahun itu memberitahu, Din memiliki satu makanan kesukaan yang boleh dimakannya pada setiap hari tanpa jemu iaitu sambal sardin.
“Sejak hari pertama bersama, suami ada beritahu saya yang dia memang gemar makan sardin.
“Dia mahu saya masak sambal sardin pada setiap hari sama ada untuk dibawa ke tempat kerja atau makan di rumah.
“Pada awalnya, saya sebagai isteri hanya mengikut sahaja kemahuan dan kehendak suami,” katanya.
Ujarnya, selepas lima tahun berkahwin dan dikurniakan dua cahaya mata, minat Din terhadap sambal sardin tidak pernah berubah.
Jelas Salbiah, suaminya tidak pernah jemu dan sentiasa memintanya untuk menyediakan lauk sardin setiap hari.
“Pada suatu hari, saya terlalu sibuk menguruskan anak-anak dari pagi hingga ke petang sampai terlupa untuk masak sambal sardin seperti diminta oleh suami.
“Usai pulang dari pejabat, Din terus ingin makan malam. Kemudian, dia bertanyakan mengenai lauk sardinnya.
“Saya memberitahu dengan baik bahawa saya terlupa hendak masak kerana terlalu sibuk mengurus anak sehingga terlelap di sebelah petang.
“Disebabkan tidak boleh menerima alasan itu, suami lantas bangun dari meja makan.
“Dia kemudian melempar mangkuk kaca berisi beberapa lauk lain ke arah saya sambil memarahi saya dengan nada keras.
“Suami ada cakap, dia penat bekerja seharian dan balik hendak makan, namun lauk kesukaan tiada di atas meja.
“Dia ada tanya, apa yang saya lakukan seharian di rumah sehingga tidak sempat untuk masak sambal sardinnya?
“Tidak setakat itu, suami turut mengungkit apa-apa yang dia pernah berikan kepada saya. Dia cakap saya beruntung bersuamikannya kerana tidak perlu bekerja,” ujarnya.
Kemarahan dan maki hamun Din kepada Salbiah disebabkan tidak masak sambal sardin pada petang itu diakhiri dengan lafaz perceraian.
“Din melafazkan cerai talak satu kepada saya pada petang itu juga.
“Selepas hampir 15 minit memarahi dan memaki hamun, dia terus menceraikan saya tanpa perlu berfikir panjang.
“Din juga arahkan saya untuk bawa anak-anak keluar dari rumah secepat mungkin kerana dia rasa ‘semak’ melihat kami di rumah itu,” katanya.
Meskipun sudah sedekad berlalu dan anak-anak juga sudah bersekolah rendah, namun Salbiah tidak pernah melupakan kisah hitam dia dan Din yang berpisah hanya disebabkan sambal sardin.
Sampai ke detik ini, Salbiah masih tidak boleh melihat sambal sardin, apatah lagi menjamahnya kerana bimbang akan mengimbau memori pahitnya.














