DI usia remaja, ramai yang menghabiskan masa lapang dengan bermain permainan video atau melayari media sosial. Namun, bagi Nathanael Yap Zheng Yu, 17, dunianya dipenuhi dengan bongkah-bongkah kecil yang memerlukan imaginasi besar.
Bukan sekadar hobi biasa, minatnya terhadap permainan Lego telah membawanya ke pentas kejohanan, bahkan lebih mengagumkan, Nathanael berjaya menjuarai pertandingan membina Lego peringkat kebangsaan selama tiga tahun berturut-turut.
Kejayaan itu bukan sahaja membuktikan bakat dan kreativiti luar biasa yang dimilikinya, malah menunjukkan betapa dedikasi, kesabaran dan ketelitian mampu membentuk seorang juara dalam bidang yang unik.
Nathanael menjuarai dan memenangi hadiah utama bagi cabaran Legoland School Challenge (LSC) Kategori Sekolah Menengah edisi 2022, 2023 dan 2024 yang diadakan di Legoland Malaysia Resort, Johor.
Bagi edisi tahun ini, dia yang merupakan pelajar di sebuah sekolah antarabangsa tidak menyertai pertandingan itu bagi menumpukan perhatian terhadap peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).
Berkongsi dengan K-Remaja baru-baru ini, anak kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, dia mula mengenali bongkah Lego sewaktu berusia dua tahun apabila sering bermain permainan itu bersama abangnya.
“Saya mula mengenali bongkah Lego apabila sering bermain Lego bersama abang, sehinggalah abang kemudiannya membelikan set Lego pertama untuk saya sempena
Krismas iaitu LEGO City 7743. Ketika itu, saya baru berusia dua tahun.
“Sejak dari itu, saya bermain dengan Lego secara suka-suka, namun mula serius apabila menyertai LSC pertama saya pada 2022,” katanya membuka bicara.
LSC merupakan pertandingan menghasilkan binaan Lego yang memberi peluang kepada peserta mempamerkan kreativiti, kerja berpasukan dan kemahiran binaan bagi merebut hadiah lumayan.
Bagi edisi tahun ini yang bakal berlangsung September ini, temanya adalah ‘Build Your Dream Destination’ dan pemenang hadiah utama berpeluang melawat Legoland Korea.
Binaan bongkah Lego yang dihasilkan Nathanael begitu mengagumkan dan penuh dengan daya imaginasi.

Tidak hairanlah, dia dan juga rakan sepasukannya yang menggelar diri mereka Five Guys muncul juara sehingga tiga kali berturut-turut mengagumkan pihak juri dengan binaan yang luar biasa.
Bagaimanapun, hanya Nathanael yang menganggotainya secara kekal bagi penyertaan ketiga-tiga tahun itu, manakala ahli pasukan lain berubah-ubah.
Ujar Nathanael, menang pertandingan Lego yang merupakan permainan paling diminati sewaktu kecil umpama mimpi yang jadi realiti.
“Saya tidak menyangka sesuatu yang orang gelar sebagai permainan mampu membawa saya melalui pengalaman menarik sebegini dalam hidup,” jelasnya.
Anak bongsu daripada empat beradik itu menyifatkan, kebolehannya untuk memberi tumpuan terhadap perkara kecil adalah apa yang membantu hasil kerjanya menonjol.
“Keupayaan untuk mengaplikasikan butiran kecil yang kita lihat dalam kehidupan seharian ke dalam binaan Lego menjadikan hasil kerja saya berbeza.
“Ia bukan sekadar dibina berdasarkan tema pertandingan semata-mata, tetapi juga dengan niat untuk membuatkan pemerhati dapat mengaitkan binaan itu dengan tema-tema yang dekat dengan kehidupan sebenar,” katanya.
Pertandingan melibatkan bongkah Lego adalah berkait dengan kreativiti, kejuruteraan dan penceritaan.
Ujar Nathanael, daripada ketiga-tiga elemen itu, dia paling menyukai aspek kejuruteraan kerana ia membantunya untuk cuba dan bereksperimen dengan pelbagai teknik binaan Lego serta mencabar peraturan dan had binaan yang biasa.
Menyertai pertandingan Lego datang dengan cabaran tersendiri. Ujar Nathanael, cabaran terbesar adalah mengimbangkan masa antara menyiapkan binaan yang cukup diminatinya dengan menguruskan jadual pelajaran, memandangkan LSC selalunya berlangsung dalam musim peperiksaan pada setiap tahun.
Nathanael juga berkongsi dia perlu belajar untuk membina mengikut keupayaan dan had bilangan bongkah yang ada bagi melengkapkan binaannya, namun dalam masa sama harus kekal dalam tema.
Sempat meninggalkan pesan buat peserta dan bakal pemenang baharu bagi LSC edisi 2025, Nathanael mengingatkan mereka untuk sentiasa menggunakan peraturan 90 peratus – 10 peratus, yang mana 90 peratus diperuntukkan untuk penyelidikan, lakaran dan perancangan, manakala 10 peratus diperuntukkan untuk membina secara fizikal.
“Jangan takut jika idea tidak muncul semasa membina. Nasihat saya, cuba lakukan perkara yang lain untuk mencari inspirasi daripada dunia sebenar,” katanya yang mendedahkan jika dia mampu membina apa saja daripada Lego tanpa had, dia mengimpikan untuk membina sebuah rumah sebenar dengan menggunakan bongkah Lego sebagai menyediakan penyelesaian perumahan mampu milik kepada mereka yang memerlukan.














