fbpx
Malaysia menjadi antara destinasi pengajian tinggi pilihan masyarakat antarabangsa. – GAMBAR HIASAN

Baik, buruk pelajar asing di IPT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEIRING dengan perkembangan global, dunia pendidikan pengajian tinggi telah merentasi sempadan geografi dan Malaysia menjadi salah sebuah destinasi pengajian tinggi pilihan masyarakat antarabangsa.

Umumnya, pelajar memilih untuk belajar di luar negara masing-masing asalnya kerana ingin mendapatkan pengalaman, sistem belajar dan budaya asing.

Selain itu, ada juga berbuat demikian kerana percaya negara yang dipilih dapat menyediakan pendidikan yang bermutu dan lebih baik daripada tempat asal mereka.

Pelajar juga ingin pelajari sesuatu yang baharu misalnya bahasa selain memulakan rangkaian perhubungan (networking) selaras tuntutan ekonomi global kini.

Hal ini menyebabkan universiti tempatan tidak kira awam mahupun swasta menjadi pilihan pelajar asing untuk menyambung pelajaran mereka di Malaysia.

Di negara ini, universiti awam seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia,

Universiti Utara Malaysia (UUM) dan beberapa lagi termasuk institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) menjadi antara pilihan pelajar luar.

Sehingga Jun 2023, statistik menunjukkan terdapat 104,315 pelajar antarabangsa di negara ini dengan 43,952 di universiti awam dan 60,363 di IPT swasta.

Lebih membanggakan, pada tahun lalu, bilangan pelajar asing yang menuntut di Malaysia telah meningkat lebih 30 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan lebih 167,000 pelajar direkodkan dari 179 buah negara.

Menerusinya, Malaysia pasti memperoleh pelbagai kelebihan, manfaat serta nilai tambah selain keuntungan menerusi kemasukan bukan ratusan, bahkan ribuan pelajar luar ini saban tahun.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Foad Sakdan ketika dihubungi K-Kampus berkata, pihaknya meraikan kepelbagaian ilmu dan warganegara dunia.

Menurutnya, UUM yang dikenali sebagai universiti pengurusan terkemuka terus menarik perhatian pelajar antarabangsa dari pelbagai benua dan rantau termasuk Asia, Afrika, Asia Barat dan negara jiran berdekatan.

“UUM kini menjadi rumah kepada 2,448 pelajar antarabangsa yang kebanyakannya iaitu sekitar 80 peratus adalah pelajar pascasiswazah luar negara,” katanya.

Menurut Mohd. Foad, selebihnya pula ialah pelajar ijazah pertama dari luar negara.

“Kehadiran pelajar antarabangsa telah memberikan impak positif kepada UUM dari pelbagai sudut,” katanya kepada K-Kampus.

Jelas Mohd. Foad, impak tersebut termasuk membolehkan UUM kekal sebagai institusi sejagat, selain bukan sahaja meningkatkan kepelbagaian dalam bilik kuliah, tetapi juga membawa nama UUM ke persada antarabangsa.

Ujarnya, hal itu penting dalam penarafan global dan usaha UUM ke arah universiti bertaraf dunia.

Berkongsi lanjut, Mohd. Foad memberitahu, tidak dinafikan pelajar asing turut menyumbang kepada pendapatan universiti melalui yuran antarabangsa serta aktiviti ekonomi setempat, terutamanya di kawasan Sintok dan Changlun di Kedah.

Tambah Mohd. Foad, pelajar tempatan juga tidak terlepas daripada menerima manfaat dengan kehadiran penuntut asing ini.

Kemasukan pelajar asing penting untuk penarafan global.

Ia termasuklah dari segi jaringan antarabangsa, pertukaran budaya dan peluang memperkukuh kemahiran komunikasi merentas sempadan.

Namun begitu kata Mohd. Foad, kehadiran pelajar asing juga tidak terlepas daripada cabaran.

“Isu penyesuaian terhadap budaya setempat, perbezaan gaya pembelajaran dan komunikasi antara pelajar menjadi antara kekangan utama.

“Sesetengah pelajar asing kurang fasih berbahasa Inggeris atau Melayu, menyebabkan berlaku salah faham dalam kerja berkumpulan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Foad menyatakan, pihak pengurusan UUM kini giat menjalankan pelbagai program integrasi seperti kelas bimbingan bahasa, dan aktiviti pelajar bersama komuniti luar kampus.

Jelasnya, inisiatif tersebut bertujuan memperkukuh kefahaman budaya, mengurangkan jurang komunikasi dan meningkatkan rasa hormat antara pelajar.

“Sesungguhnya, pelajar antarabangsa adalah duta budaya negara mereka.

“Jika mereka berjaya menyesuaikan diri dan menyumbang kepada komuniti UUM, itu adalah kejayaan bersama,” kata Mohd. Foad.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor berkata, UKM turut menjadi pilihan kepada pelajar asing disebabkan kos sara hidup dan yuran berpatutan berbanding dengan negara asal pelajar.

Menurutnya, rata-rata kos kehidupan pelajar luar negara di Malaysia adalah rendah kerana kebanyakan mereka tinggal di dalam kampus atau kawasan berhampiran universiti masing-masing.

“Kos pengangkutan dapat dikurangkan dan kos penginapan juga berpatutan, terutamanya di dalam kampus.

“Sebagai contoh, kos asrama di UKM seperti Kolej Rahim Kajai hanya di bawah RM5 sehari.

“Namun begitu, kos di luar kampus juga agak berpatutan memandangkan terdapat banyak pangsapuri dan rumah sewa yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan di sekitar kawasan kampus.

“Di samping itu, yuran yang dibayar pelajar juga adalah berpatutan dan memberikan pulangan yang baik kepada mereka sendiri dan tidak akan diperoleh di negara tempat asal mereka,” katanya.

Ia termasuklah yuran pengangkutan, yuran pejabat pengurusan pelajar antarabangsa, unit kauseling dan perkhidmatan kaunselor, persatuan pelajar antarabangsa, kemudahan kesihatan dan banyak lagi.

Dengan kualiti pendidikan dan kemudahan yang setaraf dengan apa yang ditawarkan oleh universiti-universiti terkemuka di dunia, ramai pelajar antarabangsa menganggap bahawa kos pendidikan di Malaysia adalah nilai untuk wang (value for money).

Tambah Abdul Halim, hal tersebut bertepatan dan sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2015-2025 yang menyasarkan kemasukan kira-kira 250,000 pelajar antarabangsa bagi setiap tahun.

Dalam pada itu, penganalisis pendidikan, Dr. Anuar Ahmad bagaimanapun berpendapat, tidak hanya sekadar mengejar keuntungan seperti dilakukan banyak institusi swasta, kerajaan juga perlu mengawal kemasukan pelajar asing di negara ini.

Hal ini kerana dikhuatiri akan memberi ancaman masalah jenayah dan sosial kepada masyarakat.

Jelas Anuar, ada pelajar asing yang datang ke Malaysia terdiri daripada pelajar bermasalah.

“Mereka datang bukannya hendak belajar, tapi lebih kepada mencari pekerjaan dan membuat salah laku jenayah.

”Banyak kes jenayah yang berlaku seperti salah guna dadah dan penipuan dilakukan warga asing khususnya dari Afrika.

”Begitu juga masalah sosial dengan menjerat cinta anak gadis Melayu hingga mereka menjadi mangsa jenayah dan keldai dadah,” katanya.

Menurutnya, tindakan kerajaan mahu menjadikan Malaysia sebagai hab pelajaran amat baik dan disokong penuh, namun perlu mengawal kemasukan pelajar asing dengan lebih ketat.

“Kemasukan pelajar asing perlu ditapis kerana kita tidak mahu pelajar yang bermasalah datang ke negara kita.

“Pihak universiti dan kolej juga perlu menyemak latar belakang pelajar itu terlebih dahulu sebelum mengambil mereka dengan sewenang-wenangnya dan hanya memikirkan keuntungan semata-mata,” tegasnya.

Anuar menambah, sikap tamak dan mahu mengaut keuntungan sesetengah universiti dan kolej swasta juga antara faktor menyebabkan lambakan pelajar asing di negara ini.

Jelasnya, kerajaan perlu menetapkan peraturan dan undang-undang yang lebih ketat agar masalah sosial dalam kalangan pelajar asing ini dapat ditangani.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN