Menegakkan syiar Islam bukanlah satu tugas yang mudah kerana pelbagai cabaran dan halangan perlu ditempuh oleh seseorang pendakwah.
Lebih-lebih lagi apabila nama penceramah agama tersebut mula meniti di bibir masyarakat sekali gus meningkatkan tahap popularitinya dalam kalangan komuniti di negara ini.
Secara lazimnya, populariti itu hadir dengan pelbagai bentuk dugaan termasuklah dibenci, difitnah dan lebih malang lagi disihir golongan pembenci tersebut.
Banyak penceramah agama yang terpaksa berdepan dengan cabaran tersebut, namun kecekalan jiwa dan bertawakal terhadap laluan berliku dunia dakwah menjadi kekuatan bagi diri mereka.
Bagi mengulas isu tersebut, wartawan Kosmo! Ahad, LUQMAN RIDHWAN MOHD. NOR menemu bual Datuk Mohd. Kazim Elias atau lebih mesra disapa sebagai Ustaz Kazim baru-baru ini.
Ada juga suara sumbang yang mengatakan bagaimana mungkin Datuk sebagai pendakwah atau agamawan terkenal boleh percaya dengan semua itu atau mana mungkin ada orang yang menyimpan dengki?
Saya pernah diugut bunuh sebanyak tiga kali. Pernah juga ada yang datang ke rumah bawa cuka getah nak simbah ke muka saya.
Kereta saya pernah dicalar, malah pernah dikepung. Bukan itu sahaja, ada bomoh yang datang menyerang di rumah. Kita sebagai pendakwah memang ada cabaran besar dalam hidup ini.
Begitu juga gangguan makhluk halus. Dulu saya tak boleh keluar rumah kerana saya akan pengsan kalau nak keluar dari rumah.
Kalau tidak silap Datuk juga pernah mengatakan ada individu tertentu menggunakan nama dan gambar Datuk untuk mempromosikan skim pelaburan yang tidak wujud untuk menipu orang ramai. Boleh ceritakan sedikit?
Kita sudah banyak kali sekat kandungan-kandungan tersebut dan membuat laporan polis selain melakukan penafian menerusi media sosial. Pihak tak bertanggungjawab ini juga ada menggunakan gambar-gambar individu lain.
Sekarang mereka (pihak tak bertanggungjawab) ini tak guna penipuan menerusi pelaburan dah, namun menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI). Dalam kandungan dimuat naik kononnya saya yang bercakap bagi mempromosikan ubat prostat atau ginseng Cina.
Ada juga keadaan yang mana orang tertipu dengan kandungan di media sosial dan memberitahu saya bahawa mereka melakukan pesanan terhadap barang yang dipromosi itu.
Ada pihak yang mungkin menggunakan institusi pondok atau pengajian agama yang Datuk asaskan untuk kaut keuntungan. Bagaimana Datuk hadapi kerana ini sudah pasti mencemarkan nama dan institusi yang dibangunkan?
Memang betul sebelum ini ada orang yang menggunakan nama Pusat Pendidikan Al-Barakah (Al-Barakah) untuk menipu. Pernah satu ketika pihak ini mengunjungi kediaman bapa mentua saya di Kedah.
Mereka mahu minta derma atas nama pondok kita, namun apa yang mereka tidak sedar adalah rumah orang kampung yang dikunjungi itu adalah bapa mentua saya. Mereka memang menyasarkan orang kampung untuk menipu.
Apa nasihat Datuk kepada anak-anak muda yang ingin bergelar penceramah bebas seperti Datuk?
Saya pernah terlibat dengan pelbagai program televisyen seperti Da’i Pendakwah Nusantara di TV3, Pencetus Ummah (Astro Oasis) dan Bintang Kecil (RTM).
Masa kami mencari bakat, masuk ke dalam universiti untuk mencungkil bakat, pesanan yang saya sampaikan adalah jangan berniat untuk mengejar populariti. Kedua kena betulkan cara kita, pendekatan yang dibawa.
Saya kata kepada mereka bahawa saya juga pernah muda. Berdakwa perlulah berdasarkan hikmah, bukan semangat.
Ketiga, kita kalau nak jadi penceramah yang bagus kena turun ke tanah, di bumi dan jangan duduk di kayangan. Berbual dengan semua orang dan kamu akan dapat macam-macam pengalaman dan ilmu. Jangan jadi penceramah untuk mereka yang hebat-hebat sahaja, sebaliknya turunlah ke warung, masjid dan surau. Kamu akan dapat banyak isu untuk dikupas.
Seterusnya pesanan saya adalah tepati masa dan jaga disiplin. Pakaian juga mesti kemas. Jangan buat kerja membodohkan diri dan menjahanamkan masa depan. Kalau nak pergi umrah, cari pakej yang betul. Kalau nak kahwin, buat betul-betul.
Satu lagi kena bezakan cara kita dengan orang biasa. Kamu tidak akan nampak saya lepak di sembarangan tempat. Kalau nak jadi ‘mahal’, buatkan sesuatu yang mahal. Biar orang seronok tengok kita. Jaga nilai dan imej kamu.














