fbpx
Dua pam air berfungsi semula bagi mengalirkan air yang terkepung di taman perumahan Bukit Kemuning, Shah Alam semalam. – Afiq Razali

180 rumah ‘terkepung’ banjir kilat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Kawasan perumahan di Taman Bukit Kemuning di sini bagaikan ‘terkepung’ selepas dilanda banjir kilat sehingga menjejaskan 180 buah kediaman dan hampir 1,000 penduduk pagi semalam.

Keadaan diburukkan lagi apabila dua pam di kawasan itu tidak berfungsi dipercayai akibat pa­nel terjejas digenangi air.

Seorang penduduk, Muhd. Thaqif Md. Zaidi, 27, berkata, ketika kejadian, terdapat lima ahli keluarga termasuk neneknya berusia 80 tahun di dalam rumah dengan air naik mencecah paras pinggang dalam masa 20 minit.

Katanya, situasi cemas itu menyebabkan mereka terpaksa meminta pertolongan penduduk dan bomba untuk mengusung neneknya yang terlantar.

“Air masuk dari dapur sebelum ke ruang tamu. Selepas memindahkan barang ke tingkat atas, kami membawa nenek keluar dengan bantuan bomba dan orang ramai,” katanya ketika ditemui semalam.

Taman perumahan itu mempunyai 10 lorong dengan sebahagian penduduk berpindah ke rumah saudara-mara selain Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Kemuning Utama.

Ada penduduk yang enggan berpindah dan tinggal di tingkat atas rumah dua tingkat itu.

Seorang lagi penduduk, Zaim Ismail, 42, berkata, dia mengetahui kejadian itu pukul 7.30 pagi selepas melihat kumpulan WhatsApp taman perumahannya.

Zaim yang keluar bekerja pukul 5.30 pagi dihubungi iste­rinya pada pukul 7 pagi memaklumkan air longkang di hadapan rumah mereka sudah penuh.

“Saya segera pulang untuk mengalihkan kereta, namun tidak sempat berbuat demikian,” katanya.

Jelasnya, banjir turut menyebabkan anak perempuannya yang berusia 13 tahun tidak dapat menduduki ujian bulanan Sejarah dan Sains.

Timbalan Kawasan Rukun Tetangga Taman Bukit Kemuning, Amiruddin Savai, 65, pula menyifatkan banjir kali ini adalah yang terburuk selepas 2021.

“Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) melakukan penambahbaikan infrastruktur, tetapi kali ini kejadian teruk kerana pam tidak berfungsi,” katanya.

Tinjauan turut mendapati dua pam air di kawasan perumahan itu mula beroperasi semula pada pukul 2.30 petang dengan air di­salirkan ke Sungai Rasau.

Walau bagaimanapun beberapa jalan utama berhampiran kawasan itu tidak boleh dilalui kerana masih digenangi air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN