TEKANAN darah tinggi atau hipertensi sering digelar sebagai ‘pembunuh senyap’ kerana boleh merosakkan badan secara perlahan-lahan tanpa sebarang gejala ketara.
Walaupun masalah ini boleh berlaku kepada lelaki dan wanita, namun cara ia memberi kesan tidak semestinya sama.
Wanita mungkin mengalami tanda-tanda dan risiko yang berbeza berbanding lelaki. Mari kita fahami bagaimana hipertensi memberi kesan secara khusus kepada wanita dan langkah-langkah penting untuk menjaga kesihatan diri.
Tekanan darah tinggi memberi kesan berbeza kepada wanita.
Wanita lebih berisiko untuk mengalami strok dan dementia walaupun pada paras tekanan darah lebih rendah berbanding lelaki, manakala lelaki lebih cenderung mengalami serangan jantung.
Simptom dialami oleh wanita juga kadangkala tidak seperti gejala ‘klasik’ yang biasa dikaitkan dengan tekanan darah tinggi.
Sebagai contoh, selain sakit kepala atau pening kepala, wanita mungkin mengalami keletihan melampau, pening atau rasa berpusing, loya, sesak nafas, ketidakselesaan dada, deringan dalam telinga dan bengkak di kaki.
Gejala-gejala ini kadangkala disalah anggap sebagai tekanan emosi atau perubahan hormon terutamanya semasa menopaus.
Disebabkan itu, ramai wanita tidak menyedari mereka menghidap hipertensi sehinggalah komplikasi serius seperti strok atau masalah jantung berlaku.
Hipertensi dalam kalangan wanita kerap tidak dikenal pasti kerana gejalanya lebih ringan atau berbeza berbanding lelaki. Contohnya, keletihan, keresahan atau gangguan tidur.
Ramai masih percaya bahawa tekanan darah tinggi hanyalah penyakit kaum lelaki, lalu menyebabkan wanita lewat mendapat diagnosis dan rawatan.
Tanggapan salah seperti ‘hanya orang tua yang dapat tekanan darah tinggi’ atau ‘kalau rasa sihat, pasti tiada masalah kesihatan’ juga menyumbang kepada pengesanan lewat.
Dalam pada itu, perubahan hormon wanita mempengaruhi tekanan darah.
Hormon memainkan peranan besar dalam mengawal tekanan darah. Fasa-fasa kehidupan wanita seperti haid, kehamilan dan menopaus boleh membawa risiko yang berbeza terhadap tekanan darah.
Semasa haid, sesetengah wanita mungkin mengalami kenaikan sementara tekanan darah terutamanya jika mereka mengalami simptom prahaid seperti kembung perut atau perubahan emosi.
Ketika kehamilan pula, tekanan darah boleh melonjak secara tiba-tiba selepas minggu ke-20, atau keadaan yang dikenali sebagai hipertensi gestasi.
Menjelang menopaus, penurunan hormon estrogen menyebabkan salur darah menjadi kurang elastik dan lebih tegang, sekali gus menyumbang kepada peningkatan tekanan darah.
Oleh itu, bukan hanya faktor umur yang mempengaruhi tekanan darah wanita, tetapi perubahan hormon sepanjang hayat juga memainkan peranan sangat penting.
Hipertensi gestasi adalah tekanan darah tinggi yang bermula selepas minggu ke-20 kehamilan tanpa tanda-tanda kerosakan organ. Ia berbeza daripada hipertensi kronik yang sedia ada sebelum kehamilan.
Jika tidak dikawal, ia boleh berkembang menjadi praeklampsia, satu keadaan serius yang boleh memudaratkan ibu dan bayi.
Tanda-tanda praeklampsia termasuk sakit kepala teruk, perubahan penglihatan, bengkak pada tangan dan muka, kehadiran protien dalam air kencing serta risiko kelahiran pramatang atau berat bayi rendah.
Wanita dengan hipertensi gestasi juga berisiko tinggi untuk mendapat tekanan darah tinggi selepas bersalin. Oleh itu, pemeriksaan pranatal secara berkala sangat penting untuk memeriksa tekanan darah yang normal.
Selain pengurangan paras hormon estrogen dalam badan ketika menopaus, wanita juga mungkin mengalami pertambahan berat badan, menjadi kurang aktif dan menghadapi tekanan hidup atau stres lebih tinggi.
Kesemua faktor ini meningkatkan risiko hipertensi. Oleh itu, beberapa langkah kawalan boleh diambil bagi menjaga tekanan darah.
Antaranya adalah melakukan aktiviti fizikal secara berkala seperti berjalan laju, berenang atau mengamalkan yoga.
Pemakanan yang sihat juga penting dengan menumpukan kepada pengurangan pengambilan garam dan makanan diproses.
Di samping itu, tidur yang mencukupi dan pemantauan tekanan darah secara berkala turut membantu mengawal tekanan darah. Sementara itu, pil perancang terutamanya yang mengandungi estrogen boleh menaikkan tekanan darah, terutamanya dalam kalangan wanita berumur lebih 35 tahun atau merokok.
Terapi penggantian hormon (HRT) juga perlu diawasi. Wanita yang mengambil hormon ini perlu memeriksa tekanan darah secara berkala dan berbincang dengan doktor tentang pilihan paling selamat, terutama jika mereka mempunyai risiko lain.
Wanita juga mungkin lebih terkesan oleh beberapa faktor gaya hidup yang boleh meningkatkan risiko hipertensi.
Tekanan emosi dan tanggungjawab sebagai penjaga juga sering memberi kesan besar kepada wanita.
Dari segi pemakanan, makanan segera, makanan diproses dan bergula turut meningkatkan risiko. Pengambilan garam juga boleh memberi kesan besar kerana wanita lebih sensitif terhadap bahan itu.
Selain itu, komitmen kerja dan keluarga menyebabkan wanita jarang bersenam.
Langkah mudah seperti mengurangkan snek bergaram, berjalan 30 minit setiap hari dan menangani stres boleh membantu mengurangkan risiko. Selain itu, memantau tekanan darah di rumah merupakan cara terbaik untuk mengawal kesihatan.
Semua bacaan yang diambil hendaklah dicatat untuk dijadikan rujukan oleh doktor semasa pemeriksaan seterusnya.
Dalam pada itu, jika ibu, bapa atau adik-beradik anda mempunyai hipertensi, risiko untuk anda menghidap penyakit ini juga lebih tinggi.
Dari segi pemakanan, anda disarankan untuk memperbanyak pengambilan sayur-sayuran dan mengurangkan penggunaan garam dalam masakan.
Kesimpulannya, tekanan darah tinggi dalam kalangan wanita sering tidak diberi perhatian serius, walhal kesannya sama atau lebih berbahaya berbanding lelaki disebabkan perubahan hormon sepanjang hidup wanita.
Tidak pernah ada istilah terlalu awal atau terlalu lambat untuk mengambil tindakan.
Dr. Hana Maizuliana Solehan ialah Pakar Perunding Perubatan Dalaman & Pakar Neurologi di Columbia Asia Hospital – Seremban














