DALAM dunia media sosial yang ligat berputar, satu label terus menghantui generasi muda masa kini iaitu manja, malas kerja, cepat mengeluh, tidak tahan stres, hidup mahu senang tanpa usaha.
Itulah cop mudah yang sering dilekatkan pada dahi generasi Z, seolah-olah mereka ini produk gagal zaman moden.
Persoalannya, adakah adil menuduh generasi Z ini sekadar mahu ‘disuap’ tanpa perlu berpeluh atau hakikatnya mereka sedang bertarung dalam sebuah sistem ekonomi yang menekan dan tidak memihak?
Realitinya, Gen Z tidak bermula dari garis mula yang sama, mereka mewarisi dunia sudah retak, inflasi menggila, harga rumah melambung, gaji tidak setimpal dan tekanan mental tidak kelihatan pada wajah.
Jika generasi dahulu mendaki bukit, generasi kini memanjat tebing curam tanpa sebarang tali. Lebih menyayat hati, usaha mereka sering dinafikan hanya kerana cara perjuangan tidak sama dengan generasi lama.
Sangat membimbangkan, tohmahan dan cemuhan berterusan terhadap Gen Z ini bukan sekadar membunuh semangat, tetapi melumpuhkan harapan dan motivasi untuk mereka terus mencuba.
Menurut Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohammad Noorizuddin Nooh, masalah utama sebenarnya bukan pada kemalasan, sebaliknya tekanan ekonomi yang jauh lebih mencengkam berbanding masa lalu.
“Beban ekonomi yang ditanggung Gen Z memang lebih berat berbanding generasi terdahulu. Harga keperluan asas, pendidikan dan perumahan terus meningkat dari tahun ke tahun.
“Namun, bukan bermaksud mereka malas atau lemah. Mereka cuma memilih pendekatan berbeza, menjaga kesihatan mental, mencari keseimbangan hidup dan bekerja dalam bentuk baharu,” katanya kepada Kosmo!
Dr. Noorizuddin turut menekankan, kekuatan sebenar Gen Z terletak pada kecekapan digital mereka yang merupakan senjata ampuh dalam dunia masa kini.
“Gen Z ini bijak. Mereka celik teknologi, cekap urus media sosial dan tahu menggunakan platform digital untuk menjana pendapatan.
“Malah, mereka lebih peka terhadap isu sosial dan tanggungjawab alam sekitar. Ini generasi yang tidak hanya fikir soal wang, tetapi juga nilai dan impak terhadap masyarakat,” ujarnya.
Mengulas tuduhan bahawa Gen Z generasi malas, beliau menjelaskan semua itu hanya persepsi silap hasil perbandingan tanpa pertimbangan konteks.
“Kita tidak boleh menilai mereka dengan kayu ukur lama. Dunia mereka sangat berbeza, penuh ketidaktentuan, risiko pekerjaan tinggi dan tekanan kos sara hidup yang luar biasa.
“Kalau dulu orang berpeluh di ladang, sekarang mereka membanting tulang di ruang digital. Cara berbeza, tetapi perjuangan tetap sama,” katanya.
Ujarnya, pemikiran kolot yang terus menyalahkan Gen Z hanya akan menutup ruang untuk mereka berkembang menjadi agen perubahan dalam ekonomi negara.
“Pandangan bahawa Gen Z ini generasi manja dan malas sebenarnya tidak adil. Kita seharusnya melihat potensi mereka, bukan menghukum kelemahan.
“Mereka mampu menjadi pemacu utama ekonomi jika diberi peluang, bimbingan dan ruang untuk menyinar dengan cara mereka sendiri,” tutupnya.














