BAGI Joel Lim Min Sheu, mencipta kandungan bukan sekadar hobi, namun ia adalah sesuatu yang dibuat dengan penuh teliti.
Terkenal sebagai pencipta kandungan berkisarkan permainan e-sukan popular Mobile Legends, anak kelahiran Pulau Pinang itu yang juga mesra disapa sebagai Bang Joel juga merupakan pengasas agensi digital MantaYay, yang dinobatkan sebagai Top 3 TikTok Live Agency di Malaysia.
Kini, TikTok Bang Joel iaitu @gamingwithjoellim mempunyai hampir 2 juta pengikut dengan 12 juta Likes.
Lebih mengagumkan, namanya juga tular kerana TikTok tersebut berjaya meraih satu juta pengikut hanya dalam masa 64 hari.
Jika sebelum ini dia merupakan headhunter dalam industri gaming, kini Bang Joel memimpin dan membimbing lebih 3,000 pencipta kandungan serta turut mengembangkan operasi syarikat ke pasaran Asia Tenggara.
Berkongsi dengan K-Remaja, Bang Joel berkata, semuanya bermula pada penghujung tahun 2022, sewaktu satu kunjungan ke Chiang Mai, Thailand bersama rakan-rakannya.
“Ketika itu, saya berbincang dengan seorang lagi pempengaruh popular yang juga merupakan sahabat baik saya iaitu Pinn Yang, bahawa sudah tiba masanya untuk kami mencipta TikTok Intelectual Property (IP) sendiri.
“Pinn Yang kemudian menghasilkan IP sendiri pada Januari 2023 dan sebulan kemudian saya pula menyusul.
“Ketika itu, saya sudah tahu formula kandungan iaitu apabila kandungan anda mencapai metrik yang tepat seperti pendedahan dan engagement, ia boleh menjana pendapatan.
“Itulah apa yang saya dambakan sejak hari pertama,” katanya.
Jejaka berusia 33 tahun itu berkata, kandungannya terarah kepada street interview bertemakan permainan Mobile Legends Bang Bang (MLBB), dek kerana popularitinya di negara ini.
Bang Joel bahkan menyifatkan MLBB sebagai permainan kebangsaan, kerana jika bukan anda yang bermain permainan itu, anda pasti kenal seseorang yang bermain MLBB atau pernah menonton kejohanan MLBB.
Bagi Bang Joel, apa yang menjadikan kandungannya menonjol berbanding pencipta kandungan lain di negara ini adalah kerana dia menggabungkan keaslian kandungan jalanan, pengetahuan terkini tentang gaming dan kefahaman mendalam tentang trend.
“Temu bual saya tak nampak dibuat-buat sebab menangkap suara sebenar komuniti gaming tempatan.
“Selain itu, saya juga konsisten menghasilkan kandungan dari sudut pandangan seorang gamer sejati,” katanya.
Kandungan sedemikian juga menjadikan Bang Joel pernah menerima pengiktirafan Mobile Legends Creator yang merupakan satu pengiktirafan yang cukup bermakna buatnya.
“Bukan hanya sebab anugerah itu sendiri, tapi sebab ia menunjukkan kami benar-benar beri impak kepada komuniti MLBB.
“Ia juga beri keyakinan kepada jenama lain untuk bekerjasama dengan kami, kerana mereka tahu kami bukan sekadar hype, namun kami bawa hasil yang sebenar,” katanya.

Kerjaya sebagai seorang pencipta kandungan berkenaan bidang e-sukan semestinya mendedahkan Bang Joel dengan komen negatif daripada netizen.
Begitu pun, dia tidak pernah ambil hati dengan kata-kata orang, bahkan mengakui lebih risau jika kandungannya tidak mempunyai komen langsung.
“Itu maknanya kandungan saya tak beri kesan langsung. Engagement, walaupun negatif, tetap menunjukkan orang sedang menonton, berfikir dan memberi reaksi.
“Itu memang sebahagian daripada permainan,” katanya.
Banyak mencipta memori indah sepanjang kerjayanya, Bang Joel berkata, momen paling bermakna buatnya adalah apabila melihat dia berada dalam iklan cosplay Tigreal (salah satu karakter dalam MLBB) yang dipertontonkan di semua lapangan terbang seluruh Malaysia, yang menurutnya umpama satu mimpi.
“Selain itu, saya juga dijemput ke ibu pejabat TikTok Malaysia dan di situlah saya pertama kali jumpa Yubin yang kini merupakan rakan kongsi saya.
“Ketika itu, Yubin mengetuai bahagian pemerolehan pengguna untuk MLBB dan dia sedar bahawa kandungan saya paling banyak menyumbang kepada jumlah muat turun global bagi MLBB.
“Pertemuan itu juga akhirnya membawa kepada kami menubuhkan MantaYaY bersama,” katanya.
Berkongsi nasihat kepada mereka yang mungkin berhasrat untuk mengikut jejak langkahnya, Bang Joel berkata, mulakan dengan sesuatu yang anda sudah mahir lakukan dan minat.
“Seterusnya, cari individu yang sudah berjaya dalam bidang itu, kaji perjalanan mereka dan fahami macam mana mereka jana pendapatan.
“Belajar dengan cepat dan lagi penting, beradaptasi dengan lebih cepat.
“Sejujurnya, anda tak perlukan peralatan mahal pun kerana pada awalnya juga, saya pun bermula tanpa guna mikrofon pun,” katanya mengakhiri bicara.














