fbpx
Bakal jemaah perlu menyemak latar belakang syarikat sama ada ditauliahkan sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) ataupun tidak sebelum menngambil sebarang pakej.

Ambil iktibar jemaah ditipu ejen haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENDENGAR perkongsian jemaah haji warga emas yang pulang tanpa bergelar haji dan hajah baru-baru ini menerbitkan rasa simpati penulis.

Lebih tragis, ejen yang dipercayai mereka memaksa kumpulan jemaah meredah bukit berbatu, padang pasir dan melalui pagar dawai tanpa sebarang pengawasan atau perlindungan keselamatan.

Tidak cukup itu, ada yang mendakwa turut dikurung dan dikunci di dalam bilik sempit tanpa akses makanan serta rawatan. Situasi itu dikatakan berlaku kerana kesemua jemaah tidak mempunyai visa haji sebaik tiba di Jeddah.

Bagaimana sebuah perjalanan yang sepatutnya manis dan sarat dengan pengalaman spiritual boleh bertukar menjadi ngeri serta meninggalkan kesan trauma kepada jemaah.

Menurut pengurus cawangan sebuah agensi umrah dan haji, Mohammad Bakri Ibrahim, situasi itu berlaku disebabkan kurang kesedaran oleh bakal jemaah yang tidak mengambil iktibar kes-kes penipuan dilakukan syarikat tidak ditauliahkan Tabung Haji.

“Ini berlaku akibat kurang kesedaran oleh jemaah yang mudah percaya dan termakan janji-janji manis ejen terbabit.

“Saya percaya ejen ini adalah kumpulan yang menggunakan agamawan untuk membina keyakinan jemaah supaya mengambil pakej haji yang sebenarnya tidak wujud,” katanya.

Beliau yang juga mantan Pengarah di Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) berkata, pelbagai kempen kesedaran dilakukan sejak sekian lama oleh kerajaan, namun masih ada segelintir bakal jemaah bersikap ‘tuli’ untuk memahami saranan diberikan.

“Jika ingin menggunakan pakej haji, bakal jemaah perlu menyemak latar belakang syarikat sama ada ditauliahkan sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH), ini perkara penting kerana hanya PJH sahaja yang boleh memohon visa haji.

“Jika bakal jemaaah itu tidak mendaftar haji di Tabung Haji, maka PJH akan membuat rayuan. Meskipun proses itu mengambil masa, namun ia lebih selamat dan menjamin ibadah haji kepada bakal jemaah,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai kejadian jemaah ‘menyelinap’ masuk ke Mekah melalui jalan tikus, beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya rantaian sindiket melibatkan pihak luar dan dalam.

“Perkara ini memang pernah berlaku, kerana itu juga kerajaan Arab Saudi meningkatkan kawalan dan penguatkuasaan di sana khususnya pada musim haji.

“Rakyat mereka (Arab Saudi) sendiri tidak dibenarkan mengerjakan haji sekiranya tiada permit, inikan pula rakyat kita. Ini sesuatu yang jelas untuk dinilaikan betapa pentingnya visa haji,” katanya.

Tambahnya, dalam situasi menyedihkan itu, hanya ejen yang mengaut keuntungan dengan penipuan mencecah jutaan ringgit.

“Memang Tabung Haji boleh ambil tindakan terhadap ejen ini tetapi itu juga mengambil masa dan dalam tempoh tersebut pihak inilah yang mengaut keuntungan jutaan ringgit.

“Kerana itulah saya cakap, ini berlaku disebabkan kurang kesedaran oleh jemaah haji, yang secara tidak langsung membuka peluang kepada ejen menjalankan penipuan mereka menggunakan agamawan,” katanya.

Ujarnya, apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan dalam menangani kes penipuan haji adalah usaha agresif kempen kesedaran kepada masyarakat Islam khususnya kepada warga emas di luar bandar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN