MEMAHIRKAN diri bermain piano biasanya perlu diasah sejak usia kanak-kanak bagi membiasakan jari-jemari bergerak menekan papan kekunci.
Namun, dengan adanya teknologi, terdapat satu inovasi yang membolehkan seorang pemain piano tahap asas dan sederhana beraksi seperti profesional.
Inovasi tersebut merupakan tangan robotik yang boleh menggerakkan jari lebih laju untuk membiasakan pergerakan pantas bermain piano.
Inovasi yang dikenali sebagai exoskeleton itu telah dicipta oleh seorang penyelidik di Institut NeuroPiano di Sony Computer Science Laboratories Inc., Tokyo, Jepun, Shinichi Furuya.
Menurutnya, dia sebelum ini merupakan seorang pemuzik profesional yang berlatih piano sekurang-kurangnya 10 jam pada setiap hari.
“Disebabkan saya banyak menjalani latihan, perbuatan itu menyebabkan saya mengalami gangguan pergerakan tangan.
“Situasi ini telah membuatkan saya tidak dapat bermain piano dengan pantas.
“Ini telah mencetuskan idea kepada inovasi tangan robotik,” katanya dalam satu temu bual dalam portal, snexplores.org.
Tambah Furuya, ramai merasakan tangan robotik sesuai untuk program pemulihan atau permainan realiti maya, sebaliknya dia berpendapat, inovasi itu juga bagus bagi pendidikan muzik.
Kongsinya lagi, hasil penggunaan tangan robotik berkenaan tangannya semakin baik dan dia mampu bermain serta mengajar piano.
Bagi idea tangan robotik bermain piano, Furuya membayangkan satu kaedah baharu untuk para pemuzik berlatih dengan melibatkan robot yang mengajar cara menggerakkan jari.
Robot tersebut hanya dipakai pada sebelah tangan. Bagi menguji alat itu, Furuya bersama pasukannya telah menjemput pemain piano profesional ke makmal.
Dalam satu eksperimen, 60, pemain piano diminta berlatih satu corak yang kompleks melibatkan jari telunjuk dan jari manis bersama, kemudian jari tengah serta jari kelingking secara serentak.
Walaupun dilakukan secara perlahan, namun ia masih sukar, di mana para pemain piano berlatih sehingga jari mereka tidak boleh bergerak dengan pantas.

“Kami kemudian membahagikan 60 pemain piano itu kepada lima kumpulan.
“Kumpulan pertama memakai tangan robotik semasa bermain corak sukar itu.
“Robot itu menggerakkan jari lebih laju daripada yang boleh dilakukan oleh pemain, manakala kumpulan kedua menggunakan robot yang menggerakkan jari secara perlahan dalam corak sama,” ujarnya.
Katanya, kumpulan ketiga yang dipakaikan tangan robotik mengalami pergerakan jari yang pantas, tetapi semua jari digerakkan serentak.
Dua kumpulan lagi tidak menggunakan tangan robotik. Satu daripadanya meneruskan latihan seperti biasa. Kumpulan terakhir hanya berehat.
Hasil kajian tersebut menunjukkan bahawa hanya satu kumpulan yang dapat bermain corak sukar itu dengan lebih pantas selepas latihan.
Mereka adalah kumpulan yang menggunakan tangan robotik untuk berlatih pergerakan jari kompleks secara pantas.
Purata masa antara setiap ketukan kekunci kumpulan itu meningkat kira-kira enam peratus.
Para pemain piano juga memberitahu Furuya bahawa jari mereka berasa sangat ‘ringan’ selepas menggunakan robot tersebut.
Menariknya, mereka hanya menggunakan alat itu pada tangan kanan, namun kelajuan tangan kiri juga meningkat.
Sehari selepas sesi latihan dengan robot itu, para pemain masih boleh bermain dengan pantas daripada biasa.
Namun, Furuya tidak menjangkakan kesan itu akan kekal lama. Dia percaya, para pemain perlu menggunakan alat itu secara berkala untuk mengekalkan kelajuan tersebut.
Malangnya, tangan robotik tersebut masih pada tahap prototaip dan pemain piano terlibat belum boleh membawa alat itu pulang.
Salah seorang pemerhati, Nicholas Hatsopoulos yang mengkaji kawalan deria di Universiti Chicago, Illinois, Amerika Syarikat percaya latihan robotik itu berkemungkinan telah mengubah beberapa sambungan saraf dalam otak para pemuzik.
Sambungan itu merupakan korteks somatosensory iaitu bahagian otak yang mengurus maklum balas deria dan diaktifkan apabila robot menggerakkan jari seseorang.
“Apabila seseorang menggerakkan jarinya sendiri, bahagian lain dalam otak korteks pula yang mengawal gerakan itu.
“Namun, kedua-dua bahagian ini saling berkongsi maklumat. Begitu juga dengan bahagian kiri dan kanan otak yang mengawal sisi badan bertentangan.
“Sambungan ini dapat menerangkan mengapa latihan menggunakan satu tangan robotik dapat meningkatkan kelajuan tangan yang lain,” jelasnya.
Doktor dan penyelidik telah menggunakan alat robotik seperti itu dalam terapi. Contohnya, pesakit strok sering mengalami kesukaran pergerakan pada sebelah badan.
Mereka telah menggunakan robot untuk menggerakkan lengan dan membantu pesakit strok mendapatkan semula julat pergerakan.
Namun, exoskeleton yang menggerakkan jari dan tangan agak ketinggalan. Ini kerana, jari robotik adalah kompleks dan lebih sukar untuk dibina.
Katanya, tangan robot yang dibina oleh pasukan Furuya hanya boleh menggerakkan jari ke satu arah iaitu ke bawah dan mereka sedang membangunkan robot lebih kompleks.
“Robot baharu ini boleh menggerakkan dua sendi serentak bagi membolehkan pergerakan jari yang lebih rumit.
“Furuya membayangkan bahawa latihan robotik ini boleh membantu seseorang menguasai banyak aktiviti lain selain daripada bermain piano,” kongsinya.














