GEORGE TOWN – Seorang pengusaha dusun durian di Sungai Ara di sini, tidak menyangka buah musang king dari pokok yang ditanam keluarganya sejak lebih 25 tahun lalu dinobatkan sebagai Durian King Sungai Ara 2025 di sini kelmarin.
Yap Lan Eng, 57, atau lebih mesra disapa sebagai Auntie Eng berkata, dia terkejut setelah namanya diumumkan sebagai pemenang pertama dalam Pertandingan Durian Bukit Sungai Ara anjuran pejabat Parlimen Bayan Baru.
Auntie Eng merupakan antara 50 peserta terdiri pekebun-pekebun kecil durian di Sungai Ara yang menyertai pertandingan tersebut dibahagikan kepada tiga kategori iaitu buah kampung, kahwin dan musang king.
Musang king yang diusahakan Auntie Eng dipilih sebagai raja buah paling menonjol selepas berjaya memenuhi kriteria seperti rasa buahnya yang manis dan pahit, bentuk luaran yang sekata, isi buah kering serta warnanya yang keemasan.
“Memang tidak sangka diumumkan sebagai pemenang kerana ramai peserta yang hebat dengan pengeluaran produk durian dari dusun masing-masing.
“Saya kongsikan kemenangan ini dengan adik, Yap Lin Sun. Kami sama-sama menjaga dusun milik bapa sejak dari kecil,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Menurut Auntie Eng, penjagaan rapi kesemua 50 pokok durian musang king termasuk yang dimenanginya itu dilakukan menggunakan baja organik dan ia menjadi antara faktor keberhasilan buah yang bermutu tinggi.
“Setiap hari saya akan ke dusun di tanah seluas lebih lima hektar. Memang akan periksa semua pokok musang king meskipun terdapat lebih 20 jenis pokok.
“Tahun ini, hanya 30 pokok musang king yang mengeluarkan buah. Saya akan jual kepada pemborong pada harga RM60 sekilo. Setakat ini, sebanyak 10,000 biji durian pelbagai jenis sudah dijual kepada pemborong,” katanya yang menerima hadiah wang tunai RM1,000 selaku pemenang Pertandingan Durian Bukit Sungai Ara kelmarin.
Sementara itu, durian Tean Sang atau lebih popular dengan nama ‘Tuhan Kasi’ milik pengusaha dusun durian di Sungai Ara, Kenny Soong Joon Sin, 50, pula dipilih sebagai pemenang pertama bagi kategori durian kampung.
“Saya gembira apabila durian yang ditanam sejak lebih 40 tahun oleh mendiang bapa diangkat sebagai juara durian kampung.
“Ketika ini, sebanyak empat pokok durian ‘Tuhan Kasi’ ditanam di dusun saya. Buah yang dijual pada harga RM35 hingga RM45 sekilogram itu memang popular dalam kalangan penduduk di Sungai Ara.
“Nama buah kampung ini asalnya diambil daripada nama penanam asalnya dan dikekalkan sehingga ke hari ini oleh semua pemilik dusun durian di sini,” jelasnya.
















