fbpx
TIDAK wajib untuk menunaikan solat di atas kerusi yang dilengkapi dengan tempat sujud.- GAMBAR HIASAN

K2

Hukum solat atas kerusi ada tempat sujud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAYA ada tengok satu video dalam internet, orang solat atas kerusi yang siap ada tempat sujud. Bolehkah solat seperti itu? Mohon penjelasan.

JAWAPAN: Syariat Islam diturunkan oleh Allah SWT bersesuaian dengan kemampuan manusia. Setiap individu dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan ibadah mengikut kadar keupayaan dirinya. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:  “Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.” (Surah al-Taghabun, 16)

Mengenai ayat ini Syeikh Muhammad Amin al-Syankiti mengatakan bahawa taklif (tanggungan kewajipan) adalah mengikut batas kemampuan. 

Perkara ini dijelaskan lagi oleh firman Allah SWT dalam ayat yang lain:

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan apa yang terdaya olehnya.” (Surah al-Baqarah, 286)

Sujud merupakan salah satu rukun solat yang wajib dijaga kesempurnaannya agar solat itu sah serta diterima oleh Allah SWT. 

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda: “Aku diperintahkan untuk sujud dengan tujuh tulang (anggota) iaitu dahi, serta Baginda SAW mengisyaratkan dengan tangan pada hidungnya, kedua tapak tangan, kedua lutut dan hujung jari kedua kaki. Dan janganlah menahan pakaian dan rambut.” (Riwayat al-Bukhari)

Secara asasnya bagi pesakit yang mampu solat berdiri dan mampu rukuk tetapi tidak mampu sujud, maka hendaklah dia sujud dalam bentuk rukuk dengan menundukkan kepala lebih daripada had kesempurnaan rukuk. 

Sekiranya tidak mampu, maka dia boleh sujud dalam bentuk rukuk. Perkara ini sebagaimana yang diterangkan oleh Imam Syamsuddin al-Ramli: “Sekiranya orang bersolat itu hanya mampu untuk rukuk, maka dia perlu mengulangi rukuk untuk menggantikan sujud. Sesiapa yang mampu untuk melebihkan daripada kadar kesempurnaan rukuk, maka hendaklah dia melakukannya. Hal ini kerana wajib membezakan antara rukuk dan sujud bagi orang yang mampu untuk melakukannya walaupun dia tidak mampu untuk sujud. Sekiranya dia mampu sujud dengan bahagian hadapan kepalanya atau dengan bahagian tepi wajah menjadikannya lebih rapat ke bumi, maka wajib dia melakukannya. Jika dia tidak mampu, maka boleh menggunakan isyarat dan sujud mestilah lebih rendah daripada rukuk.”

Perbincangan ini telah pun kami jelaskan dalam artikel bertajuk, ‘Irsyad Hukum Siri Ke-832: Had Sujud Ketika Solat Secara Duduk Di Atas Kerusi.’

Persoalan yang timbul, apakah hukum sujud di atas kerusi yang mempunyai tempat khas untuk sujud?

Bagi menjawab persoalan ini, perlu difahami terlebih dahulu bahawa menurut mazhab al-Syafi’i, sekiranya seseorang masih mampu sujud di atas sesuatu seperti bantal atau kerusi dengan syarat kedudukan punggungnya lebih tinggi daripada kepalanya (al-tankis), maka dia wajib melakukannya. 

Namun, jika keadaan sujud tersebut tidak menepati bentuk sujud yang sebenar, seperti kepala berada lebih tinggi daripada punggung, maka dia tidak dituntut untuk melakukannya. 

Perkara ini telah dijelaskan oleh Imam Ibrahim al-Baijuri: “Sekiranya seseorang itu mampu sujud di atas sesuatu seperti bantal yang diletakkan di bawah dahinya berserta tankis, maka wajib dia melakukannya kerana ia dapat menghasilkan bentuk sujud. 

Namun, sekiranya demikian itu berlaku tanpa mendapat tankis, maka tidak wajib sujud di atas bantal kerana bentuk sujud tidak sempurna. Sebaliknya, memadai baginya menundukkan sekadar yang termampu.”

Jika diteliti video yang tular, dapat dilihat bahawa tempat sujud pada kerusi tersebut berada lebih tinggi daripada tempat duduk. Oleh itu, tidak diwajibkan untuk sujud di atas kerusi sedemikian kerana tidak menepati bentuk sujud sebenar. Malah, Imam Ibn Hajar al-Haitami menyifatkan sujud dalam keadaan seperti ini sebagai satu perbuatan yang sia-sia.

Kesimpulannya, tidak wajib untuk menunaikan solat di atas kerusi yang dilengkapi dengan tempat sujud.

 Hal ini kerana, berdasarkan kerusi yang ditunjukkan dalam video tersebut, bahagian tempat duduknya berada lebih rendah daripada tempat sujud. 

Keadaan ini tidak menepati bentuk sujud yang sebenar yang dalam istilah Arab disebut sebagai al-tankis iaitu kepala berada lebih rendah daripada punggung ketika sujud. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN