GUA MUSANG – Lebih 2,000 penduduk di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh di sini bimbang dengan kehadiran seekor beruang matahari yang kerap dilihat berkeliaran di kawasan kampung sejak lima bulan lalu.
Lebih menakutkan apabila ada penduduk yang sudah beberapa kali terserempak dengan haiwan liar itu berdekatan rumah.
Seorang penduduk, Kamarul Aiman Kamarudin, 28, berkata, penduduk sempat merakam gambar beruang matahari itu yang sedang mandi di sungai berdekatan rumah penduduk kampung pada Selasa lalu.
“Beruang matahari itu dipercayai tersesat masuk ke kawasan kampung sejak awal tahun dan mungkin kelaparan dan mencari makanan di kampung ini.
“Kami bimbang dengan keselamatan terutamanya kanak-kanak sekiranya mereka terserempak haiwan liar itu. Jadi, saya harap tindakan segera dapat diambil pihak berwajib demi keselamatan kami sebagai penduduk kampung,” katanya.
Kamarul Aiman memberitahu, penduduk juga mengalami kerugian apabila pokok kelapa yang ditanam telah dirosakkan beruang matahari tersebut untuk mendapatkan umbut kelapa.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, pihaknya sudah menerima aduan daripada penduduk mengenai ancaman beruang matahari.
Katanya, beliau juga sudah menasihatkan penduduk untuk membuat laporan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) supaya tindakan pencegahan dapat segera diambil.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani pula berkata, pihaknya menerima aduan kemunculan beruang matahari terbabit dan akan mengambil tindakan segera.














