Bermula bulan ini, Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) untuk mengesan pemandu yang melanggar had laju telah diaktifkan sebagai ujian perintis.
Jadi, tiada lagi aksi memperlahankan kenderaan apabila nampak perangkap had laju atau acah-acah baik di depan kamera dan selepas itu kembali memecut laju.
Tidak seperti perangkap had laju biasa yang ‘menangkap’ gambar kenderaan anda di lokasi tertentu, AwAS menggunakan kaedah pengesanan kelajuan secara purata berasaskan titik ke titik.
Ia akan mengukur tempoh serta jarak perjalanan kenderaan anda di antara dua lokasi.
Contohnya, jika anda yang dalam perjalanan dari Jalan Duta, Kuala Lumpur ke Tanjung Malim, Perak, tiba lebih awal dari masa dianggarkan, plat kenderaan akan dikesan dan saman dikeluarkan secara automatik.
Malah, AwAS yang dikuasakan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) mampu mengesan jika pemandu berhenti di mana-mana lokasi untuk memanjangkan masa perjalanan mereka dalam usaha mengelak pengesanan.
Di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan, sebanyak 17 lokasi telah dipasang AwAS yang akan ‘menemani’ anda pulang ke kampung atau pergi bercuti.
Lokasi itu ialah di Kilometer (KM) 97.2 Kuala Muda, KM174 Bandar Baharu, KM204.6 Taiping, KM299.9 Kampar, KM 375.9 Slim River, KM301.6 Kajang, KM214.4 Alor Gajah, KM184.2 Jasin, KM151.4 Pagoh dan KM1 Johor Bahru ke arah utara.
Bagi laluan arah selatan, terdapat tujuh lokasi iaitu di KM96.3 Kuala Muda, KM166 Seberang Perai Selatan, KM214.4 Alor Gajah, KM328.8 Behrang, KM185 Bemban, KM146.8 Pagoh dan KM1 Johor Bahru.
Ramai pengguna yang tidak berpuas hati dengan pengoperasian AwAS. Sebelum ini pun pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dibantah sekeras-kerasnya.
Kononnya kata mereka, ini cara mudah untuk kerajaan mengambil duit rakyat melalui saman. Malah, ada yang kata lebih baik pandu kereta Perodua Kancil jika tidak boleh memandu melebihi 110 kilometer sejam (km/j) di lebuh raya.
Tetapi sebaliknya, hanya AwAS yang mampu memastikan ramai pengguna termasuk pemandu lori, treler, trak pikap dan bas mengikut had laju ditetapkan.
Sikap pemandu yang suka memandu laju menjadi penyebab utama kemalangan maut sehingga orang lain yang tidak bersalah menjadi mangsa.
Apabila berlaku kemalangan maut yang mengorbankan banyak nyawa, ramai yang mahu pihak berkuasa segera bertindak, namun apabila AwAS dipasang, ramai pula yang membantah.
Bagaimanapun, sebahagian besar pengguna menyokong pemasangan AwAS. Kata mereka, jika takut dikenakan saman, patuhilah had laju, apa susah. Hanya mereka yang suka memandu laju di lebuh raya dan mengejar ‘trip’ yang membantah sistem baharu ini.
Seelok-eloknya, AwAS turut dipasang di lokasi-lokasi yang kerap berlaku kemalangan maut di jalan-jalan persekutuan atau negeri di seluruh negara. Biar tiada siapa lagi yang berani memandu laju.
Jika tidak, lebuh raya dan jalan raya akan jadi macam litar lumba, memandu secara melulu sehingga merempuh kenderaan lain.














