ALAT lightsaber mungkin dilihat seperti permainan biasa, namun tidak bagi pencinta inovasi yang menganggapnya sebagai kesan teknologi.
Kata penyanyi Daniel Sher, alat itu turut disifatkan sebagai salah satu gajet berteknologi tinggi kerana memiliki kebolehan untuk menukar cahaya dengan sentuhan.
“Saya memang suka dengan lightsaber kerana memiliki kemampuan untuk mengubah warna dan juga salah satu alat mainan yang boleh dikatakan berteknologi tinggi kerana memerlukan sistem mekanikal pada bahagian pemegang.
“Agak mahal juga untuk mendapatkannya kerana saya membelanjakan lebih RM4,000. Memang agak mahal sehinggakan saya dimarahi ibu kerana hal itu.
“Biarpun harga mahal tetapi tidak menjadi masalah asalkan saya berasa puas hati dan memberikan kepuasan ketika menggunakannya,” katanya kepada K-Tekno.
Lightsaber juga merupakan simbol ikonik dalam francais Star Wars, sekali gus menjadi fenomena budaya global sejak filem pertama dilancarkan pada 1977.
Terdapat mekanisme dan peralatan digital pada bahagian pemegang lightsaber (hilt) yang membolehkannya untuk mengeluarkan bilah cahaya (plasma) keluar bersama dengan bunyi khas tertentu.
Selain lightsaber, jejaka berusia 35 tahun itu turut meminati barangan elektronik tanpa wayar seperti gitar, drum, mikrofon dan keyboard MIDI (Musical Instrument Digital Interface).
Bukan sekadar penyanyi, Daniel Sher juga bertindak sebagai penerbit lagu perlu peka dengan peralihan teknologi dari analog kepada digital.
“Bukan bermaksud kita perlu melupakan cara lama tetapi kehadiran teknologi ini dapat membantu untuk menjadikan kerja lebih mudah dan menjimatkan masa.
“Biarpun saya menggunakan peralatan muzik digital tanpa wayar tetapi saya tetap memerlukan individu untuk memainkan alat muzik lain seperti biola atau alat muzik tradisional seperti gambus, yangqin atau bonang (alat muzik gamelan). Semua bunyi itu boleh diadun kemas dengan mixer audio.
“Bagi saya walaupun kita sudah mengalami peralihan teknologi, namun itu bukan bermakna kita perlu melupakan segala hal lama dan menganggap ia sebagai ketinggalan zaman,” katanya.
Menitikberatkan soal kekemasan kerja, Daniel Sher memandang serius terhadap proses menghasilkan lagu, ia bukan saja melibatkan mesin tetapi pilihan monitor komputer kerja juga penting.
Kadar resolusi PPI (pixels per inch) memainkan peranan penting buat Daniel Sher menentukan pilihan skrin terbaik untuk melakukan kerja agar lebih efisien.
“Resolusi televisyen dengan skrin atau monitor yang digunakan untuk suntingan lagu amat berbeza kerana kadar PPI televisyen rendah dan membuatkan kurang jelas apabila dilihat secara dekat.
“Berbeza dengan PPI monitor kerja yang tinggi dan membolehkan saya untuk melihat dengan lebih jelas imej di skrin sekiranya melihat pada jarak dekat,” ujarnya.















