fbpx
SALAH satu cabaran yang perlu dilalui peserta di Skytrex Adventure Langkawi, Kedah.

Skytrex medan uji kemampuan fizikal dan mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP orang mempunyai minat dan hobi berbeza.  Bagi sesetengah individu, pengalaman menyertai sukan ekstrem atau aktiviti lasak boleh membantu menghilangkan tekanan.

Bagi seorang gadis kelahiran Kuala Lumpur, aktiviti sedemikian dapat membantunya menguji keberanian dan kemampuan fizikalnya.

Berkongsi dengan CitaRasa, Nik Nur Ezaila Abd. Rahim, 25, berkata, pengalaman mencuba aktiviti lasak di Skytrex Adventure Langkawi baru-baru ini merupakan sesuatu yang menarik.

Dia yang lebih mesra disapa Ezaila berkata, aktiviti sedemikian memberi kepuasan, selain membantu menghilangkan tekanan.

“Skytrex Adventure Langkawi adalah salah satu aktiviti lasak yang benar-benar menarik.

“Ia menguji mental dan fizikal saya, menerusi cabaran seperti flying fox merentas hutan, panjat tali dan menaiki jambatan gantung.

“Sepanjang aktiviti, saya akui berasa sangat gementar, namun dalam masa yang sama rasa teruja,” katanya.

ANTARA cabaran yang terpaksa dilalui oleh Ezaila.

Ezaila juga menyifatkan pengalaman tersebut sebagai peluang buatnya untuk melihat keindahan alam dari perspektif berbeza.

Tambahan pula, suasana hutan tropika di Langkawi sangat menenangkan.

“Saya pergi Skytrex pada hari Sabtu, seawal pukul 12 tengah hari bersama adik saya yang juga minat mencuba aktiviti lasak.

“Dari tempat penginapan kami iaitu berdekatan Pantai Cenang, kami memandu selama lebih kurang 40 minit untuk sampai ke Skytrex.

“Setibanya di sana, kami diberikan taklimat keselamatan dan peralatan khas seperti harness serta topi keledar sebelum memulakan cabaran,” katanya.

Ezaila dan adik perempuannya itu memilih cabaran Island Extreme yang juga merupakan trek paling mencabar ditawarkan di situ.

“Bermula dengan memanjat tangga tali setinggi lebih 10 meter, kami kemudian perlu berjalan di jambatan gantung dan berayun menggunakan Tarzan Swing ke platform seterusnya.

EZAILA mengambil masa selama dua jam untuk menghabiskan semua cabaran.

“Kemuncak cabaran adalah flying fox sepanjang lebih 100 meter yang memberikan pengalaman luar biasa,” jelasnya.

Dia memaklumkan bahawa keseluruhan cabaran Skytrex di situ mengambil masa selama lebih dua jam.

Ezaila yang meminati aktiviti lasak sejak beberapa tahun lalu turut berkongsi tip buat mereka baru berjinak-jinak dengan sukan ekstrem.

“Bagi saya, jangan takut untuk mencuba aktiviti lasak memandangkan terdapat begitu banyak lapangan yang boleh dicuba.

“Pertama sekali, pilih aktiviti mengikut kesesuaian. Jika anda baru bermula, pilih cabaran yang ringan dahulu sebelum mencuba sesuatu lebih ekstrem.

“Nikmati pengalamannya dan jangan terlalu fokus pada cabaran.

“Ini memandangkan aktiviti sebegini bukan sahaja seronok, malah boleh menguji keyakinan diri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN