PETALING JAYA – Seorang peguam syarie mendedahkan isu isteri penanggung tunggal keluarga merupakan punca utama masalah keretakan rumah tangga yang dikendalikan pihaknya sejak lebih 10 tahun lalu di Selangor.
Siti Nur Hasanah Johari berkata, isu itu bukan lagi perkara baharu dan secara purata sebanyak 25 kes diterima pihaknya pada setiap bulan.
“Majoriti isu keretakan rumah tangga yang kami terima sejak 10 tahun lalu adalah berkaitan isteri provider.

“Sekarang ini daripada 68 kes (masalah rumah tangga) yang diterima, sebanyak 25 daripadanya berkaitan masalah isteri seorang yang mencari nafkah.
“Isu ini sering berada di carta teratas yang menjadi punca masalah keretakan rumah tangga di Selangor,” katanya.
Menurut Siti Nur Hasanah, kes suami meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada isteri untuk mencari rezeki buat keluarga dikatakan semakin meningkat sejak pandemik Covid-19.
Tegas beliau, golongan isteri perlu berpada-pada dalam membantu suami mencari nafkah bagi mengelakkan pasangan mereka ‘naik lemak’ dan bersikap ambil mudah akan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
“Sekarang ini zaman isteri berkerjaya dan ramai wanita juga tidak begitu kisah untuk menanggung nafkah bagi pihak pasangan, tetapi lelaki di luar sana,
ingatlah tanggungjawab anda sebagai suami.
“Lelaki perlu ada perasaan malu sekiranya gagal berbuat demikian (cari nafkah).
“Di dalam al-Quran pun ada menjelaskan tentang tanggungjawab para suami supaya memberi nafkah. Walaupun isteri membantu, jangan ambil kesempatan. Itu tanggungjawab suami sampai bila-bila.
“Dan di pihak isteri pula, mereka perlu berpada-pada dalam membantu suami. Kalau kita bersikap terlalu memberi dikhuatiri pasangan cenderung untuk ambil mudah dan makin malas mencari serta memberi nafkah buat keluarga,” katanya.














