KUALA LUMPUR – Ibu kepada bayi lelaki yang maut selepas dihantar ke sebuah taska di Setapak di sini Isnin lalu, telah cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR) sekali lagi dengan harapan anaknya itu terus bernyawa.
Ibu mangsa, Nur Farihah Meor Mazli, 29, berkata, sebelum itu, guru di taska terbabit telah memanggil penyelia dan mereka melakukan CPR, namun anaknya, Muammar Aidil yang berusia tujuh bulan tidak menunjukkan sebarang respons.
“Setelah dimaklumkan anak saya tidak sedarkan diri selepas ditidurkan, saya terus datang ke taska sekitar pukul 10.30 pagi pada Isnin lalu. Apabila saya pegang badan Muammar, dia sudah tidak lagi bernafas.
“Saya cuba beri CPR sekali lagi, tetapi masih tiada respons sebelum bawa Muammar ke bahagian kecemasan Hospital Columbia, Setapak. Muammar disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital kira-kira pukul 11.08 pagi,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, sebelum ditemukan tidak sedarkan diri, bayi lelakinya itu ditidurkan dalam keadaan bedung.
Katanya, dia telah menghantar Muammar ke taska berkenaan sekitar pukul 9.20 pagi.
“Saya dimaklumkan Muammar diletakkan di dalam bilik taska dan ditidurkan pada pukul 9.30 pagi dalam keadaan bedung.
“Sekitar pukul 10 pagi, guru perasan Muammar tidak lagi boleh bangun dari tidur dan terdapat hingus dan lendir susu keluar daripada hidungnya,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini dia pernah memaklumkan kepada pihak taska bahawa anaknya tidak sepatutnya dibedung ketika tidur.
“Ini kerana Muammar sudah boleh bergolek dan pusing badan. Bahaya jika dibiarkan tidur dalam keadaan bedung tanpa pengawasan kerana ada risiko kepalanya tertekup dan tidak dapat bernafas,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada bapa bayi itu pada pukul 1.26 tengah hari, pada Isnin.
Katanya, siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
Kosmo! muka depan semalam melaporkan, kejadian itu berlaku tidak sampai sejam selepas Muammar dihantar ke taska terbabit pada pukul 9.20 pagi.
Bapanya, Aidil Khalid, 41, dilaporkan berkata, pemergian Muammar begitu pantas dan mengejutkannya sekeluarga kerana bayi tersebut dalam keadaan sihat dan ceria ketika dihantar isterinya, Nur Farihah ke taska berkenaan pada pagi kejadian.
Pada hari kejadian, anak pasangan peguam itu tidak menunjukkan sebarang gejala atau simptom tidak sihat.














