fbpx
Andin dengan ikan spot tail bass terbesar pada trip kali ini.

Menjinakkan ‘serigala’ Mentawai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Perjalanan saya dan Andin bermula dengan menaiki penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke Padang, Suma­tera Barat, Indonesia.

Selain terkenal sebagai destinasi pancing, masakan orang Padang antara yang terkenal di seluruh Indonesia. Ia merupakan tarikan kedua kami ingin ke sana.

Masakan Minang terutamanya di restoran nasi Padang memang tiada tandingannya. Selain itu, kami juga diperkenalkan dengan sate Padang, sate Pariaman dan nasi goreng Minang.

Walaupun lebih 10,000 langkah dihabiskan seharian untuk bersukan sebagai persediaan menarik ikan perkasa di sini, namun apabila sampai sahaja kami telah menggandakan jumlah itu. Tidak kira di Padang atau di Pulau Sipora, Mentawai, makanan di sini sama hebatnya kerana air tangan orang Minang sememangnya sangat sedap di tekak kami.

Kabupaten Mentawai

Di Kabupaten Mentawai ini terdapat empat buah pulau utama yang dihuni. Pulau Siberut adalah pulau yang terbesar, pulau-pulau lainnya adalah Pulau Sipora, Pulau Pagai Utara dan Pulau Pagai Selatan. Pulau-pulau ini terletak kira-kira 150 kilometer dari pantai Sumatera yang dipisahkan oleh Selat Mentawai.

Selain itu, terdapat beberapa pulau-pulau kecil lain yang dihuni, namun sebahagian besar daripadanya hanya ditanam pokok kelapa. Penduduk asal pulau-pulau ini dikenali sebagai suku Mentawai. Destinasi pancingan kami kali ini pula ada di estuari Pulau Sipora.

Gewang permukaan

Kami menggunakan sebuah perahu kayu kecil dengan enjin 15 kuasa kuda selama memancing di Pulau Sipora ini kerana sungai-sungai di sini agak cetek muaranya.

Perahu kayu yang kami gunakan di satu muara.

Kami berdua akan melakukan pancingan selama empat hari dan setiap pagi, kami akan menuju ke destinasi menggunakan kereta. Tiba di sana, kami akan dijemput oleh bot dan terus sambung sesi memancing.

Kami berbekalkan set mengilat kerana ikan sasaran utama kami adalah black bass dan spot tail bass. Kali ini, saya dilengkapi dua joran multi pieces Monsterkiss MX-65 PE5 dan Bombada Magico PE6 dengan gabungan kekili, Daiwa Lexa 300.

Manakala Andin membawa dua joran multi pieces Bone Voyage Expedition PE3-6 dan Jabbers Snake Charmer PE3.

Tali yang kami gunakan adalah tali sulam antara 50 sehingga ke 65 paun (lb) dengan perambut berkekuatan 80 sehingga 120 lb.

Dalam trip kali ini, kami banyak menggunakan gewang permukaan atas saranan pemandu pancing. Menurutnya, ikan black bass dan spot tail bass di sini lebih gemar menghentam apa sahaja yang bergerak di permukaan air.

Berkemungkinan kebanyakan lokasi yang dihuni kedua-dua ikan ini cetek. Jadi bunyi bising yang dihasilkan oleh gewang permukaan cepat disedari berbanding jika dimainkan di kawasan dalam.

Gewang-gewang permukaan seperti Bone Racejet, Hoverjet dan Duo Pencil 130 ini akan menghasilkan bunyi yang kuat ketika dikarau.

Blackbass ini berjaya Andin pujuk dengan gewang permukaan Bone Racejet.

Boleh dikatakan, 99 peratus hasil tangkapan adalah dengan menggunakan gewang permukaan. Cuma seekor ikan spot tail bass yang saya naikkan dengan gewang Duo Fangbait 120SR.

Memainkan gewang permukaan di kawasan bereba juga amat menyeronokkan kerana peratus kebarangkalian tersangkut adalah rendah berbanding dengan gewang jenis selaman.

Apabila ikan menangkap gewang, ledakan yang dihasilkan amat mengetarkan jiwa kerana saiz ikan bagak-bagak belaka.

Sebab itulah, kami harus bersedia dengan set pancing yang kasar. Kawasan memancing sempit dengan struktur bereba banat yang memagarinya dan spesies ikan gagah merupakan faktor-faktor yang boleh menyebabkan kegagalan.

Kami bukan selalu dapat sampai ke sini, jadi setiap peluang mendapatkan ikan tidak akan disia-siakan.

Ikan wajib dihela dengan kuat sebelum ia mencapai reba yang boleh menyebabkannya tersangkut, putus dan terlepas.

Catch and release

Semua ikan black bass dan spot tail bass yang kami dapat dilepaskan semula. Bagusnya pemandu pancing di sini juga mulai sedar pentingnya amalan catch and release.

Ini kerana, ia bakal mengekalkan populasi ikan sukan memancing itu untuk satu jangka masa yang lama.

Selain mengilat gewang permukaan, kami juga sempat melakukan jigging ringan di sekitar pulau di kawasan berkedalaman antara 20 hingga 60 meter.

Namun beberapa ekor kerapu bara, kerisi dan spesies ikan karang lain saja yang berjaya kami naikkan.

Saiz rata-ratanya di bawah dua kilogram dan sebahagian diambil untuk dibuat lauk selama trip kami di sana. Jauh perjalanan luas pengalaman, Mentawai sememangnya sentiasa dekat di hati kami. Kami pasti akan datang lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN